SELAMAT MEMBACA... RAJIN-RAJIN LA TINGGAL KOMEN...

kawan2 sporting..

Google+ Followers

Thursday, 31 July 2014

Selendang Putih sebuah cerpen

SELENDANG PUTIH
Kemunculannya, membuat aku tertanya-tanya adakah ini realiti atau mimpi?

            Aku berlari anak meredah hujan, hujan lebat ini membuat mataku yang sememangnya rabun kian kabur. Segera aku berteduh di sebuah pondok kecil. Sejuk mula menguasai diri. Jacket yang setia dibadanku, ku buka, melihat baju itu sudah lenjun, segera aku memerah baju tebal itu. Lalu ku letakkan di tiang yang menahan pondok kecil itu. Mudah-mudah baju ini kering terkena angin yang kencang ini. Rambut yang panjangnya paras pangkal leher, dikusutkan, mahu mengurangkan kebasahan. Kalaulah ada orang tengok aku pada masa ini, mesti aku dikatakan orang gila. Yalah, lelaki tetapi rambut panjang kusut masai, baju basah lenjun.

            Dalam aku cuba mengurangkan kuantiti air di tubuhku, ada seorang wanita muncul dalam keadaan basah kuyup di tempat aku berteduh.

            Cantik. Memang cantik. Berwajah seperti wanita jepun, tetapi memakai baju kurung dan berselendang putih, memang ayu. Aku berdehem membetulkan tekak. Cuba memecahkan kesunyian diantara kami.

            “Sejuk?”soalku sepatah. Sepi. Tiada balasan. Aku menoleh ke arahnya. Dia memandangku dengan senyuman manis.

            “Sejuk?”ulangku. Dia mengangguk kecil. Aku tersenyum. Aku mencapai jacket yang sudah hampir kering. Lekas saja aku hulurkan padanya. Mana tahu dapat kurangkan sejuknya.

            “Pakailah. Masih lembab tapi boleh kurangkan sejuk.” Ujarku ikhlas. Dia kelihatan teragak-agak mahu mengambilnya. Segan mungkin. Aku hulurkan baju itu lebih dekat. Dia akhirnya mengambilnya. Dia duduk dilantai, bersimpuh, seperti  orang dulu-dulu. Aku turut duduk, tetapi bersila.

            Kedengaran bunyi derepan orang  dan kuda berlari. Wanita itu kelihatan resah. Dia bangun, melihat ke kiri dan kanan, kemudian memandangku dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.

            “Kenapa?”soalku pelik. Namun dia hanya diam. Bisu, mungkin.

            Bunyi derapan semakin mendekat. Wanita itu semakin kalut. Dalam kekalutan itu dia berlari meninggalkan pondok yang sedang kami teduh. Baju aku terdampar di tanah, manakala selendang putihnya tersangkut ditiang yang aku sidaikan baju aku sebentar tadi.

            Aku hanya mampu memandang. Pelik. Hilang sahaja wanita itu dari penglihatan aku, hujan lebat terus reda. Cuaca yang gelap gelita tadi bertukar cerah-secerahnya bagai tidak pernah hujan. Bunyi derepan itu juga sudah hilang.

            Mimpi ke aku? Huh, lantaklah, aku dah lambat baik aku gerak cepat. Karang bising pula kawan aku tu.

            Selendang dan baju itu aku sentuh, lalu aku pegang. Wujud, ya selendang ini wujud. Maksudnya tadi, benda betul, benar-benar terjadi, bukan mimpi? Kepala yang tidak gatal aku garu.

            ‘Ting! Ting!’ bunyi dari telefon bimbitku mengejutkan diriku. Tercampak tudung dan baju yang berada dalam genggaman. Kurang asam punya telefon!

            ‘Kau dkt mana Wan? Bos dah bising ni! Cepat sikit! >n< - Mirul’

            Tangan pantas menepuk dahi. Hadui, akibat ralit memikirkan siapa perempuan misteri itu aku jadi lambat. Masalah betul! Dengan pantas aku menyambung perjalananku. Soal siapa dan benar atau tidak kejadian tadi berlaku, aku tinggalkan dulu. Karang aku lewat sangat, siapa nak selamatkan aku? Perempuan tadi? Memang tak la...

            -

            “Ya Allah, Wan! Lambat betul kau, nasib baik bos sakit perut tiba-tiba, kalau tak... nasib kau, bukan sebaik ni.” kata Mirul sebaik sahaja aku masuk ke dalam pejabat.

            “Itu namanya, rezeki... Rezeki tak kena marah.” Sengih aku lemparkan. Mirul mengerut kening. Hidungnya yang sememangnya besar itu makin besar apabila dia menghidu-hidu diriku. Busuk ke aku? Eh, sebelum keluar rumah tadi aku dah mandi dah.

            “Kenapa Mirul? Wangi ke aku?”tanya aku selamba. Aku turut menghidu diriku. Tak ada apa pun.

            “Busuknya... macam telur tembelanglah bau kau.” Ujar Mirul sesedap rasa. Aku segera mengetuk kepalanya.

            “Hamboi, mulut kau! Aku siap sembur perfume masa nak keluar rumah tadi tau!”Terasa jugaklah aku, bila dia kata macam telur tembelang.

            “Betul weih. Tapi kejap, bau yang kuat ni bukan dari kau, tapi dari jacket ni. Woi, berapa tahun tak basuh ni?” jari Mirul memegang hujung jacket aku. Aku memandangnya pelik.

            “Kau biar benar ni?! Jacket ni baru hari ni tau aku pakai. Meh sini aku bau.” Jacket bertukar tangan. Aku mula menghidu jacket milikku. Betullah, busuk!

            “Kenapa jadi macam ni? Tadi wangi kot. Tak akan perempuan lawa tu busuk kot?”kataku tak percaya. Jacket ditangan ku tilik dengan teliti, mana tau aku terlanggar telur busuk ke dalam perjalanan tadi.

            “Perempuan lawa mana?”tanya Mirul dengan lagak seorang detektif.

            “Oh, tadi masa ribut tadi, aku tumpang teduh dekat satu pondok tu, masa tu ada perempuan lawa masuk juga, tumpang teduh la. Dia sejuk, aku kasi la dia pakai kejap. Lepas tu dia lari.” Ceritaku kepada Mirul.

            “Kau ni biar betul sikit. Mana ada ribut. Elok saja cuaca hari ni. jangankan ribut, setitis air pun tak jatuh dari langit tau!” Mirul mula mempertikaikan ceritaku.

            “Betullah. Ribut, sampai aku kena tumpang teduh dekat pondok nak roboh dekat simpang tiga depan tu.” Aku cuba membela kesahihan ceritaku.

            “Hah, ni satu lagi hal. Kot ye pun nak kelentong aku, agak-agaklah. Pondok apa yang ada dekat sana? Kat situ kosong je, semak samun ada lah. Merepek la kau ni. Agak-agaklah nak buat cerita bohong.” Mirul sudah menggeleng kepala. Aku melihatnya dengan wajah tidak percaya. Mana mungkin, baru tadi sahaja aku menumpang teduh disitu.

            “Ya Allah, aku cakap betullah ni. Apa kes aku nak tipu kau. Perempuan lawa tu boleh jadi saksi aku.”

            “Huh, kalau betullah, maksudnya kau dah kena kacau. Elok sangatlah, kau yang kaki tipu ni kena kacau dengan orang bunian, yelah mana ada hantu nak keluar pagi-pagi, jin adalah.” Ujar Mirul dengan wajah tidak percayanya. Aku ternganga. Bunian? Mirul segera kembali ke tempatnya. Mungkin dia ingat aku benar-benar bohong.

            “Bunian? Apa kes, dia nak kacau aku?”soal aku kepada diriku sendiri. Kain selendang itu ku keluarkan dari beg sandang. Kain itu aku cium baunya. Wangi. Sangat wangi.

            Betulkah benda yang berlaku tadi? Mimpi? Atau macam Mirul kata, aku diganggu bunian?

            -

            Sehari selepas kejadian itu, aku jatuh sakit. Demam sehingga aku tidak mampu bangun, hatta ke bilik air sekalipun. Mujur ada teman serumahku, Azlan.

            “Kau ni kenapa sakit teruk sangat ni? Bila pergi hospital, elok je demamnya, balik saja terus demam balik. Dah tiga hari dah demam macam ni. Sampai aku pun ambil cuti. Risau tengok kau ni.” Bebel Azlan sambil mengelap tubuh badanku yang membahang.

            “Entahlah Lan, aku pun tak tahu.”

            “Hurm... kau ada usik ‘kawasan dia orang’ kot?” duga Azlan. Aku memandangnya.

            “Kawasan mana pula?”Aku yang sememangnya pening bertambah pening mendengar ocehan Azlan.

            “Lembab pula kau ni. Kawasan keraslah. Kawasan untuk bukan manusia.” Kata Azlan lagi dengan muka serius.

            “Hurm... maksudkan hantu? Jin?”tanya aku dengan dahi berkerut sakit.

            “Hah! Yelah. Kau kan lemah semangat.” Ujarnya lagi. Aku tergelak kecil.

            “Mana kau tahu aku lemah semangat? Ha ha ha.. kalau betullah, aku lalu tempat ‘diaorang’, maksudnya perempuan tu salah satu ‘diaorang’lah. Kalau macam tu aku akan jumpa balik dengan dia. Sebab selendang putih dia ada dengan aku.” ujar aku sedikit bongkak. Azlan mengeluh kecil.

            “Mulut tu baik-baik sikit Wan. Jangan sebab mulut kau binasa.” Nasihatnya sebelum keluar meninggalkan aku keseorangan di dalam bilik.

            Aku terlelap dalam keletihan.

            -

            Aku terjaga dalam suasana yang gelap. Gelap sungguh. Tak akan Azlan tinggalkan aku sendiri dirumah? Aku nak bangun pun tak boleh ni. Kejam betul kawan aku seorang tu.

            Aku cuba duduk, berpeluh-peluh jugalah aku cuba nak duduk. Adui... sakitnya satu badan aku ni. Macam kena cucuk dengan beribu jarum halus. Tangan cuba mencapai gelas berisi air putih ditepi tilam. Tetapi tanganku lemah, hinggakan nak menggerakkan jari pun mampu membuat tubuhku menggigil kuat. Aku tertunduk, cuba meredakan hati yang sudah menangis pilu.

            “Nah, tuan hamba.” Gelas air itu dihulur oleh sepasang tangan putih yang kelihatan amat cantik. Suaranya lembut. Membuat aku terpesona. Aku segera meneguk air itu. Segar, terasa agak manis. Aku mengangkat muka. Mahu melihat siapakah yang baik hati menolong aku di waktu ini.

            Dia?! Mataku terbeliak melihat wajah jepun tetapi ayu bertudung dan berbaju kurung itu. Wanita yang sama ku lihat 2 hari yang lalu. Pemilik selendang putih.

            “Awak?”tanyaku sepatah. Sebenarnya hanya itu yang mampu aku tuturkan ketika ini.

            “Ya... hamba datang mahu membalas budi tuan hamba.” Kata sang wanita sambil tertunduk malu. Aku menelan liur. Bulu roma sudah meremang. Mana taknya, apabila aku melihat dirinya, baru aku sedar, bagaimana dia masuk ke dalam bilik aku ni? Bilik ini ditingkat 2. Pintu rumah sudah semestinya berkunci.


Begitu juga dengan pintu bilik aku ni, Azlan memang akan kunci bilik aku setiap kali dia keluar, maklumlah dia ada kunci bilik aku. Malah dia tahu aku tak suka diganggu sebab itu dia kuncikan. Tapi sliding door bilik ku ke balkoni terbuka luas. Membuat aku rasa dia masuk melalu situ.

“Ba... balas bu.. budi?”tanyaku tergagap-gagap. Memang aku rasa dia bukan manusia. Mana taknya, bercakap juga menggunakan bahasa dahulukala.

“Ya. Tuan hamba baik benar. Ketika hamba kesejukkan, tuan hamba memberikan baju tuan hamba. Selendang hamba juga tuan hamba simpankan. Benar tidak?” tanyanya sambil tersenyum manis.

“Ya benar. Tetapi, awak tak perlu membalas jasa saya. Saya ikhlas. Selendang awak saya pulangkan. Tu di dalam laci bawah sekali.” Kataku sambil menjuihkan bibir ke laci dihujung sana.

“Hamba tidak mahukan selendang itu lagi. Jasa tuan hamba terlalu besar. Biarlah hamba menolong tuan hamba pula. Tuan hamba sakit akibat dirempuh para panglima yang mengejar hamba tempoh hari. Hamba perlu menyentuh tuan hamba untuk menyembuhkan tuan hamba” kata wanita itu tegas. Aku menelan liur yang terasa pahit.

“Tapi, kita bukan mahram. Kenapa pulak para panglima itu mengejar kamu?” Ujar aku penuh berhati-hati.

“Kalau begitu, tuan hamba dinikahi hamba. Mereka mengejar hamba untuk memaksa hamba berkahwin dengan laksama Dalim, orang yang berkuasa di kampung sebelah.” Ujar wanita itu sambil tertunduk sedih. Sedih kerana dipaksa kahwin dengan orang yang tidak disukainya, mungkin.

“Oh... macam tu. Eh... tak boleh.  Kita tak kenal pun. Lagipun baik awak kahwin dengan laksamana tu. Dia mesti lagi kaya dari saya.” Alasan yang paling bodoh aku rasa yang pernah aku beri.

“Nama hamba, Ku Puteri Santaro, berasal dari tanah jawa. Tuan hamba, bernama, Wan Syafiq, berasal dari tanah malaya. Kita saling kenal, Cuma belum pernah berbicara. Memang Laksamana Dalim itu orang terkaya di kampung sebelah. Tetapi dia jahat.” Tungkas Ku Puteri. Aku menggeleng tak percaya.

“ Baiklah dia jahat ke baik ke tak ada kena mengena dengan saya. Tipu kita tak pernah kenal! Baiklah kalau betul kau boleh bantu aku, kau buat aku sihat sekarang jugak!” ujar aku agak kasar. Bahasa sudah bertukar. Geram dengan makhluk Allah yang satu ini.

“Baiklah. Jika tuan hamba sihat, tuan hamba hendaklah nikahi hamba.” Ujar Ku Puteri dengan senyuman manisnya.

Ku Puteri mula menyentuh tubuh aku. Dari hujung ibu jari kaki hinggalah ke hujung kepalaku. Selepas berbuat sedemikian sebanyak 7 kali, badan aku terasa sihat. Aku sudah boleh bangun. Malah berlari.

“Benarkan kata hamba. Jadi tuan hamba perlulah menikahi hamba.” Ujar Ku Puteri menuntut janji. Aku serba salah.

“Kita tak boleh bernikah. Ku Puteri di alam lain, Wan di alam lain. Benar Ku Puteri sudah mengubati diri Wan. Tetapi kita tak boleh melanggar fitrah-Nya bukan?”aku cuba berdiplomasi dengannya. Ku Puteri tertunduk mengiakan kata-kataku. Kelihatan dia sangat sedih.

“Tapi... hamba sukakan Tuan hamba. Tuan hamba tinggalkan di dunia hamba. Di sana lebih seronok dan indah dari dunia tuan hamba.” Pujuknya. Aku menggeleng.

“Tak boleh Ku Puteri Santaro. Kita tak boleh bersama. Pulanglah Ku Puteri. Wan amat berterima kasih dengan Ku Puteri, anggap sahaja diantara kita sudah tiada yang berbudi.” Kataku lembut, cuba memujuk Ku Puteri beredar dari sisiku.

“Baiklah tuan hamba.” Dengan linangan air mata Ku Puteri bangun.

“Ku Puteri, selendang putih Ku Puteri.” Selendangnya aku ambil dan berikan kepadanya. Dia menggeleng dengan senyuman.

“Biarkan selendang putih ini jadi ingatan tuan hamba kepada hamba. Selama ini, hamba keseorangan, sering menjadi mangsa. Tetapi tuan hamba muncul memberi hamba perlindungan. Walaupun Cuma sekali dan sebentar, tetapi tuan hambalah yang pertama berbuat sebegitu. Hamba jadi jatuh hati dengan sikap tuan hamba yang begitu baik itu.” Ku Puteri terdiam sebentar, cuba menahan sebak yang semakin meninggi.

“Jadi... biarlah selendang putih ini menjadi bukti, cinta hamba kepada tuan hamba. Simpanlah. Mungkin hamba akan muncul jika tuan hamba benar-benar mahu berjumpa atau memerlukan hamba.” Ujar Ku Puteri sebelum hilang dari pandangan mataku. Aku terdiam. Selendang putih itu aku lihat.

Suasana bilik menjadi terang seterang-terangnya. Aku memejam mata menahan silau yang menerobos masuk ke dalam bilikku melalui balkoni. Pintu balkoni itu sudah tertutup kembali. Aku mengusap dada. Betulkah apa yang terjadi tadi?

“Eh, Wan kau dah sihat ke?”tanya Azlan yang tiba-tiba muncul dimuka pintu. Aku mengangguk. Aku terduduk dibirai katil.

“Betullah kau kata, mulut aku ni lancang betul.” Ujar aku sambil merenung muka Azlan.

“Kenapa pulak?”tanya Azlan sambil melabuhkan punggungnya di sebelah aku.

“Dia datang tadi. Ku Puteri Santaro.”

“Siapa?”

“Perempuan yang aku jumpa. Yang bukan manusia tu.” Ujar aku bersungguh-sungguh. Azlan kelihatan terkejut.

“Kau biar betul, tak sampai 10 minit aku tinggalkan kau.”

“Betullah Lan. Dia datang. Rasa macam dekat sejam dia ada dekat sini. Bersembang dengan aku, ubatkan  aku.”

“Uih... bahaya betul kau ni. Dia nak apa?”usik Azlan.

“Nak kahwin dengan aku. Dia suka aku.” Azlan ketawa mengekeh. Aku cerita yang benar dia ketawa pula.

“Dah pulak. Yelah Wan. Suka hati kau lah.” Azlan sudah bangun mahu meninggalkan aku sekali lagi, sah, dia tak percaya.

“Ni selendang putih ni jadi buktinya.” Aku menunjukkan selendang itu. Azlan membelek-belek selendang itu.

“Huh, ni dekat tepi jalan pun banyak Wan. Dah-dahlah tu kelentong aku.” ujar Azlan sebelum meninggalkan bilik aku.

“Betul Ku Puteri Santaro wujud, dia yang ubatkan aku. dia yang beri aku selendang ni.” selendang itu ku usap.

Selendang putih yang menjadi bukti pertemuan aku dengan Ku Puteri Santaro. Biarlah orang kata aku menipu atau apa. Yang penting aku pasti dia wujud. Selendang putih ini akan aku simpan sebaik-baiknya, dan apabila aku bercucu cicit nanti akan aku ceritakan mengenai Ku Puteri Santaro yang berasal dari tanah jawa itu.

           



1 comment:

Dah baca Harap KOMEN Boleh bantu Asyu :)