Terima Kasih kerana datang membaca dan memberi pendapat anda



Followers

Thursday, 31 July 2014

Selendang Putih sebuah cerpen

SELENDANG PUTIH
Kemunculannya, membuat aku tertanya-tanya adakah ini realiti atau mimpi?

            Aku berlari anak meredah hujan, hujan lebat ini membuat mataku yang sememangnya rabun kian kabur. Segera aku berteduh di sebuah pondok kecil. Sejuk mula menguasai diri. Jacket yang setia dibadanku, ku buka, melihat baju itu sudah lenjun, segera aku memerah baju tebal itu. Lalu ku letakkan di tiang yang menahan pondok kecil itu. Mudah-mudah baju ini kering terkena angin yang kencang ini. Rambut yang panjangnya paras pangkal leher, dikusutkan, mahu mengurangkan kebasahan. Kalaulah ada orang tengok aku pada masa ini, mesti aku dikatakan orang gila. Yalah, lelaki tetapi rambut panjang kusut masai, baju basah lenjun.

            Dalam aku cuba mengurangkan kuantiti air di tubuhku, ada seorang wanita muncul dalam keadaan basah kuyup di tempat aku berteduh.

            Cantik. Memang cantik. Berwajah seperti wanita jepun, tetapi memakai baju kurung dan berselendang putih, memang ayu. Aku berdehem membetulkan tekak. Cuba memecahkan kesunyian diantara kami.

            “Sejuk?”soalku sepatah. Sepi. Tiada balasan. Aku menoleh ke arahnya. Dia memandangku dengan senyuman manis.

            “Sejuk?”ulangku. Dia mengangguk kecil. Aku tersenyum. Aku mencapai jacket yang sudah hampir kering. Lekas saja aku hulurkan padanya. Mana tahu dapat kurangkan sejuknya.

            “Pakailah. Masih lembab tapi boleh kurangkan sejuk.” Ujarku ikhlas. Dia kelihatan teragak-agak mahu mengambilnya. Segan mungkin. Aku hulurkan baju itu lebih dekat. Dia akhirnya mengambilnya. Dia duduk dilantai, bersimpuh, seperti  orang dulu-dulu. Aku turut duduk, tetapi bersila.

            Kedengaran bunyi derepan orang  dan kuda berlari. Wanita itu kelihatan resah. Dia bangun, melihat ke kiri dan kanan, kemudian memandangku dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.

            “Kenapa?”soalku pelik. Namun dia hanya diam. Bisu, mungkin.

            Bunyi derapan semakin mendekat. Wanita itu semakin kalut. Dalam kekalutan itu dia berlari meninggalkan pondok yang sedang kami teduh. Baju aku terdampar di tanah, manakala selendang putihnya tersangkut ditiang yang aku sidaikan baju aku sebentar tadi.

            Aku hanya mampu memandang. Pelik. Hilang sahaja wanita itu dari penglihatan aku, hujan lebat terus reda. Cuaca yang gelap gelita tadi bertukar cerah-secerahnya bagai tidak pernah hujan. Bunyi derepan itu juga sudah hilang.

            Mimpi ke aku? Huh, lantaklah, aku dah lambat baik aku gerak cepat. Karang bising pula kawan aku tu.

            Selendang dan baju itu aku sentuh, lalu aku pegang. Wujud, ya selendang ini wujud. Maksudnya tadi, benda betul, benar-benar terjadi, bukan mimpi? Kepala yang tidak gatal aku garu.

            ‘Ting! Ting!’ bunyi dari telefon bimbitku mengejutkan diriku. Tercampak tudung dan baju yang berada dalam genggaman. Kurang asam punya telefon!

            ‘Kau dkt mana Wan? Bos dah bising ni! Cepat sikit! >n< - Mirul’

            Tangan pantas menepuk dahi. Hadui, akibat ralit memikirkan siapa perempuan misteri itu aku jadi lambat. Masalah betul! Dengan pantas aku menyambung perjalananku. Soal siapa dan benar atau tidak kejadian tadi berlaku, aku tinggalkan dulu. Karang aku lewat sangat, siapa nak selamatkan aku? Perempuan tadi? Memang tak la...

            -

            “Ya Allah, Wan! Lambat betul kau, nasib baik bos sakit perut tiba-tiba, kalau tak... nasib kau, bukan sebaik ni.” kata Mirul sebaik sahaja aku masuk ke dalam pejabat.

            “Itu namanya, rezeki... Rezeki tak kena marah.” Sengih aku lemparkan. Mirul mengerut kening. Hidungnya yang sememangnya besar itu makin besar apabila dia menghidu-hidu diriku. Busuk ke aku? Eh, sebelum keluar rumah tadi aku dah mandi dah.

            “Kenapa Mirul? Wangi ke aku?”tanya aku selamba. Aku turut menghidu diriku. Tak ada apa pun.

            “Busuknya... macam telur tembelanglah bau kau.” Ujar Mirul sesedap rasa. Aku segera mengetuk kepalanya.

            “Hamboi, mulut kau! Aku siap sembur perfume masa nak keluar rumah tadi tau!”Terasa jugaklah aku, bila dia kata macam telur tembelang.

            “Betul weih. Tapi kejap, bau yang kuat ni bukan dari kau, tapi dari jacket ni. Woi, berapa tahun tak basuh ni?” jari Mirul memegang hujung jacket aku. Aku memandangnya pelik.

            “Kau biar benar ni?! Jacket ni baru hari ni tau aku pakai. Meh sini aku bau.” Jacket bertukar tangan. Aku mula menghidu jacket milikku. Betullah, busuk!

            “Kenapa jadi macam ni? Tadi wangi kot. Tak akan perempuan lawa tu busuk kot?”kataku tak percaya. Jacket ditangan ku tilik dengan teliti, mana tau aku terlanggar telur busuk ke dalam perjalanan tadi.

            “Perempuan lawa mana?”tanya Mirul dengan lagak seorang detektif.

            “Oh, tadi masa ribut tadi, aku tumpang teduh dekat satu pondok tu, masa tu ada perempuan lawa masuk juga, tumpang teduh la. Dia sejuk, aku kasi la dia pakai kejap. Lepas tu dia lari.” Ceritaku kepada Mirul.

            “Kau ni biar betul sikit. Mana ada ribut. Elok saja cuaca hari ni. jangankan ribut, setitis air pun tak jatuh dari langit tau!” Mirul mula mempertikaikan ceritaku.

            “Betullah. Ribut, sampai aku kena tumpang teduh dekat pondok nak roboh dekat simpang tiga depan tu.” Aku cuba membela kesahihan ceritaku.

            “Hah, ni satu lagi hal. Kot ye pun nak kelentong aku, agak-agaklah. Pondok apa yang ada dekat sana? Kat situ kosong je, semak samun ada lah. Merepek la kau ni. Agak-agaklah nak buat cerita bohong.” Mirul sudah menggeleng kepala. Aku melihatnya dengan wajah tidak percaya. Mana mungkin, baru tadi sahaja aku menumpang teduh disitu.

            “Ya Allah, aku cakap betullah ni. Apa kes aku nak tipu kau. Perempuan lawa tu boleh jadi saksi aku.”

            “Huh, kalau betullah, maksudnya kau dah kena kacau. Elok sangatlah, kau yang kaki tipu ni kena kacau dengan orang bunian, yelah mana ada hantu nak keluar pagi-pagi, jin adalah.” Ujar Mirul dengan wajah tidak percayanya. Aku ternganga. Bunian? Mirul segera kembali ke tempatnya. Mungkin dia ingat aku benar-benar bohong.

            “Bunian? Apa kes, dia nak kacau aku?”soal aku kepada diriku sendiri. Kain selendang itu ku keluarkan dari beg sandang. Kain itu aku cium baunya. Wangi. Sangat wangi.

            Betulkah benda yang berlaku tadi? Mimpi? Atau macam Mirul kata, aku diganggu bunian?

            -

            Sehari selepas kejadian itu, aku jatuh sakit. Demam sehingga aku tidak mampu bangun, hatta ke bilik air sekalipun. Mujur ada teman serumahku, Azlan.

            “Kau ni kenapa sakit teruk sangat ni? Bila pergi hospital, elok je demamnya, balik saja terus demam balik. Dah tiga hari dah demam macam ni. Sampai aku pun ambil cuti. Risau tengok kau ni.” Bebel Azlan sambil mengelap tubuh badanku yang membahang.

            “Entahlah Lan, aku pun tak tahu.”

            “Hurm... kau ada usik ‘kawasan dia orang’ kot?” duga Azlan. Aku memandangnya.

            “Kawasan mana pula?”Aku yang sememangnya pening bertambah pening mendengar ocehan Azlan.

            “Lembab pula kau ni. Kawasan keraslah. Kawasan untuk bukan manusia.” Kata Azlan lagi dengan muka serius.

            “Hurm... maksudkan hantu? Jin?”tanya aku dengan dahi berkerut sakit.

            “Hah! Yelah. Kau kan lemah semangat.” Ujarnya lagi. Aku tergelak kecil.

            “Mana kau tahu aku lemah semangat? Ha ha ha.. kalau betullah, aku lalu tempat ‘diaorang’, maksudnya perempuan tu salah satu ‘diaorang’lah. Kalau macam tu aku akan jumpa balik dengan dia. Sebab selendang putih dia ada dengan aku.” ujar aku sedikit bongkak. Azlan mengeluh kecil.

            “Mulut tu baik-baik sikit Wan. Jangan sebab mulut kau binasa.” Nasihatnya sebelum keluar meninggalkan aku keseorangan di dalam bilik.

            Aku terlelap dalam keletihan.

            -

            Aku terjaga dalam suasana yang gelap. Gelap sungguh. Tak akan Azlan tinggalkan aku sendiri dirumah? Aku nak bangun pun tak boleh ni. Kejam betul kawan aku seorang tu.

            Aku cuba duduk, berpeluh-peluh jugalah aku cuba nak duduk. Adui... sakitnya satu badan aku ni. Macam kena cucuk dengan beribu jarum halus. Tangan cuba mencapai gelas berisi air putih ditepi tilam. Tetapi tanganku lemah, hinggakan nak menggerakkan jari pun mampu membuat tubuhku menggigil kuat. Aku tertunduk, cuba meredakan hati yang sudah menangis pilu.

            “Nah, tuan hamba.” Gelas air itu dihulur oleh sepasang tangan putih yang kelihatan amat cantik. Suaranya lembut. Membuat aku terpesona. Aku segera meneguk air itu. Segar, terasa agak manis. Aku mengangkat muka. Mahu melihat siapakah yang baik hati menolong aku di waktu ini.

            Dia?! Mataku terbeliak melihat wajah jepun tetapi ayu bertudung dan berbaju kurung itu. Wanita yang sama ku lihat 2 hari yang lalu. Pemilik selendang putih.

            “Awak?”tanyaku sepatah. Sebenarnya hanya itu yang mampu aku tuturkan ketika ini.

            “Ya... hamba datang mahu membalas budi tuan hamba.” Kata sang wanita sambil tertunduk malu. Aku menelan liur. Bulu roma sudah meremang. Mana taknya, apabila aku melihat dirinya, baru aku sedar, bagaimana dia masuk ke dalam bilik aku ni? Bilik ini ditingkat 2. Pintu rumah sudah semestinya berkunci.


Begitu juga dengan pintu bilik aku ni, Azlan memang akan kunci bilik aku setiap kali dia keluar, maklumlah dia ada kunci bilik aku. Malah dia tahu aku tak suka diganggu sebab itu dia kuncikan. Tapi sliding door bilik ku ke balkoni terbuka luas. Membuat aku rasa dia masuk melalu situ.

“Ba... balas bu.. budi?”tanyaku tergagap-gagap. Memang aku rasa dia bukan manusia. Mana taknya, bercakap juga menggunakan bahasa dahulukala.

“Ya. Tuan hamba baik benar. Ketika hamba kesejukkan, tuan hamba memberikan baju tuan hamba. Selendang hamba juga tuan hamba simpankan. Benar tidak?” tanyanya sambil tersenyum manis.

“Ya benar. Tetapi, awak tak perlu membalas jasa saya. Saya ikhlas. Selendang awak saya pulangkan. Tu di dalam laci bawah sekali.” Kataku sambil menjuihkan bibir ke laci dihujung sana.

“Hamba tidak mahukan selendang itu lagi. Jasa tuan hamba terlalu besar. Biarlah hamba menolong tuan hamba pula. Tuan hamba sakit akibat dirempuh para panglima yang mengejar hamba tempoh hari. Hamba perlu menyentuh tuan hamba untuk menyembuhkan tuan hamba” kata wanita itu tegas. Aku menelan liur yang terasa pahit.

“Tapi, kita bukan mahram. Kenapa pulak para panglima itu mengejar kamu?” Ujar aku penuh berhati-hati.

“Kalau begitu, tuan hamba dinikahi hamba. Mereka mengejar hamba untuk memaksa hamba berkahwin dengan laksama Dalim, orang yang berkuasa di kampung sebelah.” Ujar wanita itu sambil tertunduk sedih. Sedih kerana dipaksa kahwin dengan orang yang tidak disukainya, mungkin.

“Oh... macam tu. Eh... tak boleh.  Kita tak kenal pun. Lagipun baik awak kahwin dengan laksamana tu. Dia mesti lagi kaya dari saya.” Alasan yang paling bodoh aku rasa yang pernah aku beri.

“Nama hamba, Ku Puteri Santaro, berasal dari tanah jawa. Tuan hamba, bernama, Wan Syafiq, berasal dari tanah malaya. Kita saling kenal, Cuma belum pernah berbicara. Memang Laksamana Dalim itu orang terkaya di kampung sebelah. Tetapi dia jahat.” Tungkas Ku Puteri. Aku menggeleng tak percaya.

“ Baiklah dia jahat ke baik ke tak ada kena mengena dengan saya. Tipu kita tak pernah kenal! Baiklah kalau betul kau boleh bantu aku, kau buat aku sihat sekarang jugak!” ujar aku agak kasar. Bahasa sudah bertukar. Geram dengan makhluk Allah yang satu ini.

“Baiklah. Jika tuan hamba sihat, tuan hamba hendaklah nikahi hamba.” Ujar Ku Puteri dengan senyuman manisnya.

Ku Puteri mula menyentuh tubuh aku. Dari hujung ibu jari kaki hinggalah ke hujung kepalaku. Selepas berbuat sedemikian sebanyak 7 kali, badan aku terasa sihat. Aku sudah boleh bangun. Malah berlari.

“Benarkan kata hamba. Jadi tuan hamba perlulah menikahi hamba.” Ujar Ku Puteri menuntut janji. Aku serba salah.

“Kita tak boleh bernikah. Ku Puteri di alam lain, Wan di alam lain. Benar Ku Puteri sudah mengubati diri Wan. Tetapi kita tak boleh melanggar fitrah-Nya bukan?”aku cuba berdiplomasi dengannya. Ku Puteri tertunduk mengiakan kata-kataku. Kelihatan dia sangat sedih.

“Tapi... hamba sukakan Tuan hamba. Tuan hamba tinggalkan di dunia hamba. Di sana lebih seronok dan indah dari dunia tuan hamba.” Pujuknya. Aku menggeleng.

“Tak boleh Ku Puteri Santaro. Kita tak boleh bersama. Pulanglah Ku Puteri. Wan amat berterima kasih dengan Ku Puteri, anggap sahaja diantara kita sudah tiada yang berbudi.” Kataku lembut, cuba memujuk Ku Puteri beredar dari sisiku.

“Baiklah tuan hamba.” Dengan linangan air mata Ku Puteri bangun.

“Ku Puteri, selendang putih Ku Puteri.” Selendangnya aku ambil dan berikan kepadanya. Dia menggeleng dengan senyuman.

“Biarkan selendang putih ini jadi ingatan tuan hamba kepada hamba. Selama ini, hamba keseorangan, sering menjadi mangsa. Tetapi tuan hamba muncul memberi hamba perlindungan. Walaupun Cuma sekali dan sebentar, tetapi tuan hambalah yang pertama berbuat sebegitu. Hamba jadi jatuh hati dengan sikap tuan hamba yang begitu baik itu.” Ku Puteri terdiam sebentar, cuba menahan sebak yang semakin meninggi.

“Jadi... biarlah selendang putih ini menjadi bukti, cinta hamba kepada tuan hamba. Simpanlah. Mungkin hamba akan muncul jika tuan hamba benar-benar mahu berjumpa atau memerlukan hamba.” Ujar Ku Puteri sebelum hilang dari pandangan mataku. Aku terdiam. Selendang putih itu aku lihat.

Suasana bilik menjadi terang seterang-terangnya. Aku memejam mata menahan silau yang menerobos masuk ke dalam bilikku melalui balkoni. Pintu balkoni itu sudah tertutup kembali. Aku mengusap dada. Betulkah apa yang terjadi tadi?

“Eh, Wan kau dah sihat ke?”tanya Azlan yang tiba-tiba muncul dimuka pintu. Aku mengangguk. Aku terduduk dibirai katil.

“Betullah kau kata, mulut aku ni lancang betul.” Ujar aku sambil merenung muka Azlan.

“Kenapa pulak?”tanya Azlan sambil melabuhkan punggungnya di sebelah aku.

“Dia datang tadi. Ku Puteri Santaro.”

“Siapa?”

“Perempuan yang aku jumpa. Yang bukan manusia tu.” Ujar aku bersungguh-sungguh. Azlan kelihatan terkejut.

“Kau biar betul, tak sampai 10 minit aku tinggalkan kau.”

“Betullah Lan. Dia datang. Rasa macam dekat sejam dia ada dekat sini. Bersembang dengan aku, ubatkan  aku.”

“Uih... bahaya betul kau ni. Dia nak apa?”usik Azlan.

“Nak kahwin dengan aku. Dia suka aku.” Azlan ketawa mengekeh. Aku cerita yang benar dia ketawa pula.

“Dah pulak. Yelah Wan. Suka hati kau lah.” Azlan sudah bangun mahu meninggalkan aku sekali lagi, sah, dia tak percaya.

“Ni selendang putih ni jadi buktinya.” Aku menunjukkan selendang itu. Azlan membelek-belek selendang itu.

“Huh, ni dekat tepi jalan pun banyak Wan. Dah-dahlah tu kelentong aku.” ujar Azlan sebelum meninggalkan bilik aku.

“Betul Ku Puteri Santaro wujud, dia yang ubatkan aku. dia yang beri aku selendang ni.” selendang itu ku usap.

Selendang putih yang menjadi bukti pertemuan aku dengan Ku Puteri Santaro. Biarlah orang kata aku menipu atau apa. Yang penting aku pasti dia wujud. Selendang putih ini akan aku simpan sebaik-baiknya, dan apabila aku bercucu cicit nanti akan aku ceritakan mengenai Ku Puteri Santaro yang berasal dari tanah jawa itu.

           



Sunday, 27 July 2014

Pulanglah, anakku! sebuah cerpen





ASSALAMULAIKUM.

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM.

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN. CERPEN YG PENDEK UNTUK KORANG. YG SMBUNGAN MANA2 CERPEN TU MINGGU DPN YEEEE


PULANGLAH, ANAKKU!

Afif termenung panjang. Rindu itu tetap bertandang. Entah bagaimana keadaan mereka sekarang, sihat ke, sakit ke? Kalau boleh dia nak balik. Tapi mereka dah buang dia. Ini semua pasal benda tu. Benda yang dulunya menjadi pujaan dia. Benda yang buat dia kehilangan keluarga.

            Mujur, Khalisha menjumpai dia. Wanita itu  yang menariknya untuk kembali berdiri di atas bumi yang nyata. Dia sayangkan wanita itu, sayang benar hingga dia mengambil keputusan untuk menjadikan wanita itu sebagai isterinya.

            Khalisha pada dirinya seorang yang sangat dia kagumi. Demi membimbingnya keluar dari kemelut hitam itu Khalisha menerima dirinya yang tiada apa. Dia cukup bersyukur dengan anugerah Allah untuknya ini.

            Tapi... rasa rindu itu tetap datang lebih-lebih lagi di hujung ramadhan ini. Afif termenung kembali.

            “Abang, kenapa ni?”tanya Khalisha lembut. Perut yang makin membesar menyukarkan dia untuk bergerak pantas. Tangan mengusap rambut suaminya. Memanjakan lelaki kesayanganya ini.

            “Erm... tak ada apa. Sayang dah siapkan, jom. Kita makan luar malam ni. Lepas tu terus kita pergi terawih dekat masjid negeri.” Ujar Afif dengan senyuman manis. Tangan memeluk pinggang si isteri. Perasaan rindu cuba disorokkan.

            “Dah. Abang...” tangannya memegang muka Afif, mencari anak mata sang suami. “...cuba beritahu apa yang menganggu abang. Kalau abang diam, Isha tak boleh nak tolong.” Khalisha tersenyum lembut, cuba menghilangkan gundah sang suami.

            Afif segera berpaling. Takut air mata lelakinya tumpah. Dia tidak mahu menyusahkan wanita itu lagi. Wanita terhebat dalam hidupnya, sama hebat dengan ibu yang melahirkan dia. Ibu...

            “Jom.” Tangan Afif memimpin tangan si isteri. Mata yang terasa panas diseka pantas. Khalisha  nampak semua itu, Cuma, kalau suaminya tak mahu cerita apa yang boleh dia buat.

            Khalisha tersenyum. Entah apa yang menganggu suaminya kala ini.

-          -           -           -           -           -           -           -           -           -           -           -           -          

            “Abang... mana Afif bang? Saya rindu dia...” Salmah menangis hiba. Terasa hatinya bagai di rentap-rentap. Rindu... perasaan itu semakin kuat kala dia sedang sakit. Mana anaknya? Satu-satunya anak dia ada.

            “Mana aku tahu budak tu kat mana. Anak tak sedar diri. Lupa daratan.”marah Zaman sepuas hati. Panas hatinya, 3 tahun anak tunggalnya menghilangkan diri. Siapa tak marah?

            “Abang, dah-dah la tu marahkan dia. Bawak la dia balik bang... saya rindu sangat dengan dia.” Ujar Salmah sambil memegang tangan suaminya.

            “Mah, awak tu yang patutnya sudah-sudahlah rindukan dia... dia, sendiri pun tak ingat dekat kita. Kalau betullah dia ingat dekat kita, kenapa, kenapa 3 tahun ni dia menyepi macam tu je? Aku bukannya marah sangat dengan dia, aku nak dia sedar aja...” keluh Zaman sedikit sedih.  Entah ke mana anaknya itu, makan ke tidak, hidup ke mati, dia tidak tahu.
           
            “Dia takut nak balik... Mah kenal anak Mah, bang. Abang pergilah cari dia, Mah rindu sangat dengan dia.” Salmah kembali teresak-esak, rindunya tak terkata. Anak yang dikandung 9 bulan 10 hari, dibesarkan hingga berumur 23 tahun, hilang begitu sahaja, mestilah dia merindui anak itu.

            “Aku nak cari macam mana? Awak tu sakit, aku nak tinggal awak memang taklah. Biarlah budak tu balik sendiri bila dia dah sedar nanti.” Ujar Zaman yang semakin reda nada suaranya. Jam menunjukkan pukul 1.00 pagi. Membuat Salmah dan Zaman hanyut dalam mimpi. Mimpi berjumpa anak kesayangan mereka Afif.

            “Pulanglah, anakku!” kata-kata itu bergema di dalam hati Salmah dan Zaman.

-

            “Pulanglah, anakku!”

            Afif terjaga dari tidurnya. Bagai terdengar-dengar suara ibu tercinta dan ayah yang dicintai, matanya meliar ke kiri dan kanan. Mencari kelibat orang tuanya. Mana? Mana?

            Yang ada hanya kegelapan. Sunyi mula menyelubungi dirinya. Air mata mengalir keluar bagai tiada henti. Baru dia ingat, ibu dan ayahnya sudah membuangnya, membuang dia dari hidup mereka. Tapi... dia rindu. Rindu sangat dengan mereka. Dia yang bersalah, berdosa.

            Khalisha terjaga apabila mendengar esakksan sang suami. Pantas dia mengusap lembut belakang sang suami. Afif terus memeluk isterinya. Tangisan kesedihan dihamburkan sepuas hatinya.

            “Sh.. sh.. Isha ada bang, Isha ada...” ujar Khalisha menyejukkan hati Afif. Lalu Afif terlena dalam pelukan isterinya.

            Khalisha melepaskan diri dari pelukan Afif. Dia duduk termenung, kenapa dengan suaminya ini? Bagaikan ada sesuatu yang disembunyikan darinya. Apa yang membuatkan suaminya menangis kesedihan pada jam 1 pagi?

            Rambut suaminya diusap lembut. ‘Abang bila abang nak cerita mengenai apa yang menganggu abang? Isha nak bantu abang, tapi kalau abang tak benarkan macam mana Isha nak tolong.’ Dicium lembut dahi Afif. Khalisha berbaring kembali. Mungkin... esok Afif akan bercerita. Mata ditutup, membuatnya kembali melayari alam mimpi.

-

            “Abang.” Panggil Khalisha tatkala suaminya termenung panjang.

            Afif tersentak. Mata memandang wajah penyejuk hatinya. Mesti fikiran Isha sibuk memikirkan kenapa dia menangis dipagi hari.

            “Ya.”

            “Jom... sahur.” Tangan Afif ditarik lembut. Sah suaminya tidak sedar masa berlalu. Afif sudah terjaga sedari pukul 3 pagi, sekejap sahaja dia lelap. Selepas membuat solat tahajud Afif termenung panjang.

            “Hah? Dah pukul berapa?”tanya Afif sedikit hilang punca.

            “Pukul 4.50 pagi dah bang. Jom.” Afif mengikut langkah Khalisha tanpa sebarang kata.

            Mereka terus makan tanpa kata. Sunyi. Khalisha sebenarnya kurang gemar keadaan begini. Sejak mereka berkahwin hujung tahun lepas, bulan ramadhan ini, Afif banyak berdiam diri. Seperti separuh dirinya hilang.

            “Abang, dah 3 minggu kita puasakan. Tinggal lagi seminggu je. Sekejap saja, bulan mulia  ni nak habis. Raya ni kita raya sini je la. Mak Isha dah tak ada.” Ujar Khalisha cuba menghilangkan suasana sunyi.

            Afif mendongak. Raya? Ini kali ketiga dia raya tanpa ibu dan ayah. Mesti orang tuanya penat, buat semua benda sendiri. Mungkin juga mereka hanya berkemas ala kadar, yalah... hanya dia anak mereka.

            “Hm... Khalisha nak balik kampung abang?”tanya Afif tiba-tiba. Khalisha melihat wajah suaminya, kampung?

            “Kampung? Abang ada kampung ke? Siapa ada dekat sana?”tanya Khalisha teruja. Sudah lama dia tak merasai suasana kampung. Sudah sepuluh tahun sejak neneknya meninggal. Kemudian dia dan arwah mak hanya beraya di sini sahaja.

            “Ada, ibu, ayah.” Ujar Afif tanpa reaksi. Sekali lagi Khalisha terkejut.

            “Hah? Ibu ayah abang masih ada? Kenapa abang tak pernah beritahu?”tanya Khalisha sedikit jauh hati.

            “Me...mereka dan buang abang.” Kata Afif, suaranya sudah mula bergetar.
           
            “Kenapa? Sebab benda tu ke?” Khalisha masih bertanya.
           
            Afif mengangguk mengiyakan kata Khalisha. Ya dia dibuang keluarga sebab benda tu. Benda yang buat dia berada dalam pusat serenti selama setahun. Selepas keluar dari situ, dia hanya berkeliaran kerana tiada siapa sudi mengambilnya bekerja kerana rekodnya. Nasib baik Khalisha sudi menerimanya, dia bermula sebagai office boy di syarikat Khalisha.

            Selepas setengah tahun dia bekerja dengan Khalisha dia terus bertanya sama ada Khalisha sudi atau tidak menjadi isterinya... dan wanita itu terus terimanya tanpa mempertikaikan kisah silamnya yang kelam.

            “Abang, kita balik kampung abang tahun ni. Hari rabu ni kita gerak.” Ujar Khalisha dengan senyuman manisnya.

            “Rabu? Habis tu kerja?”tanya Afif. Berdebar pula bila dia bakal berjumpa ibu dan ayah yang dirindui.

            “Tak apa. Memang Khalisha beri cuti awal setiap tahun. Lepas seminggu raya baru syarikat kita beroperasi kembali.” Khalisha mula mengemas pinggan mangkuk.

            “Terima kasih Isha.” Afif memandang isterinya penuh kasih. Pantas dia membantu isterinya.

-

            “Abang, kemaslah rumah cepat.” Ujar Salmah sedikit geram. Dia yang sakit ni pun ligat mengemas rumah, tapi suaminya duduk goyang kaki pula.
           
            “Haih, kenapa pulak? Selalunya kita tak sibuk nak raya pun...” ujar Zaman sedikit malas.
           
            “Kemaslah... anak kita nak balik tu.” Ujar Salmah yakin.

            “Ish, tak habis-habis dengan budak tak sedar diri tu. Mesti dia tak balik juga tahun ni. awak jangan berharap sangat. Aku takut awak tu makin sakit.” Ujar Zaman sambil mula mengemas. Kesian pula melihat isterinya yang kurang sihat ligat mengemas rumah.

            “Saya tahulah anak saya. Saya dapat rasakan dia nak balik.” Salmah mula mengherot-herotkan mulutnya. Geram. Zaman tergelak kecil.

            “Yelah, yelah. Cepat kemas, karang aku dah penat, awak buat la seorang diri.” Usik Zaman.

            “Kita pulak yang kena. Ish...” rungut Salmah. Namun bibir tersenyum, suaminya tidak membangkang, dia pasti anaknya akan pulang raya tahun ini.

-

            “Dah siap ke Isha?”tanya Afif dari bawah. Beg pakaian dia dan isteri sudah di masukkan ke dalam bonet kereta.

            “Dah... abang ambik ni.” sepasang baju melayu dan baju kurung berlipat elok dalam plastik dihulurkan kepada Afif.

            “Untuk siapa ni?”tanya Afif sambil menggaru kepalanya. Nak kata baju mereka, sudah banyak, tak akan untuk mereka lagi kut?

            “Untuk ibu dan ayah abang la.” Ujar Khalisha dengan senyuman manisnya. Afif tersenyum. Dia sendiri tak teringat nak beli untuk orang tua yang dah lama tidak dijumpai. Khalisha sememangnya wanita terbaik.

            “Terima kasih sayang.” Ujar Afif penuh perasaan.

            “Tak ada apalah abang.” Ujar Khalisha yang sudah merah mukanya, jarang suaminya memanggilnya sayang.

            “Haha... merahnya muka. Jom. Kita dah lewat.” Afif segera membukakan pintu untuk isterinya.

            Khalisha tersenyum gembira. Lega Afif dah kembali seperti biasanya.


-

            “Abang siapa tu?”tanya Salmah sambil cuba mengingati ada atau tidak saudaranya yang memakai kereta itu.

            “Entah, aku tak kenal sesiapa yang naik kereta tu.” Balas Zaman. Dia sendiri cuba memikirkan siapalah yang datang ke rumah mereka ini.

            Mata Salmah berair saat dia melihat siapakah yang keluar dari kereta itu. Anaknya... anaknya pulang.

            “Ibu....” tangis Afif seraya berlari memeluk ibu yang disayangi.

            “Ya Allah anak ibu, mana kau pergi selama ni nak?”tanya Salmah sambil mengucup seluruh wajah sang anak.

            Zaman terpaku. Betul ke Afif balik? Bukan mimpi?

            “Ampunkan Afif bu.” Ujar Afif sambil mencium tangan ibunya.

            “Ya... ibu maafkan.”

            Afif beralih ke arah ayahnya. Wajah ayah yang kelihatan garang tetapi lesu itu di tatap penuh kasih.

            “Ayah.” Tangan dihulurkan. Perasaannya semakin berdebar, perlahan tanganya terasa disambut. Pantas dia mencium penuh kasih tangan tua itu.

            “Maafkan Afif ayah.”

            “Hm..” hanya itu yang mampu diutarakan Zaman. Sebak mengusai dirinya. Dia takut air matanya akan jadi murah di situ.

            “Afif siapa tu?”tanya Salmah tatkala Khalisha terkial-kial keluar dari perut kereta.

            “Ya Allah, Afif lupa. Kejap bu, yah.”Afif segera berkerja ke isterinya. Kelihatan payah Khalisha ingin keluar dari kereta. Yalah kandungannya sudah mencecah usia 6 bulan. Afif segera membantu isterinya keluar. Dipinpim Khalisha.

            “Ibu, ayah, ni Khalisha. Menantu ayah dan ibu.” Ujar Afif dengan senyuman manisnya.

            Khalisha segera menyalami ayah mertuanya dan ibu mertuanya. Tangan Salmah segera hinggap diperutnya Khalisha.

            “Berapa bulan dah ni?” tanya Salmah teruja.

            “6 , bu.” Jawab Khalisha lembut. Salmah tersenyum gembira. Bukan sahaja anaknya pulang, malah dia dihadiahkan menantu dan bakal cucu. Maha suci Allah, syukur ya Allah. Ucap Salmah dalam hatinya.

            Zaman menyembunyikan senyum.

            “Pulanglah, anakku... ibu dengan ayah pernah sebut tak?”tanya Afif. Dia selalu terdengar ibu dan ayahnya menyebut ayat itu.

            “Selalu, dalam hati.” Ujar Salmah sambil mengusap lembut kepala anaknya.

            Afif tersenyum. Rupanya bukan hanya dia yang merindui, ibu dan ayahnya juga. Maafkan anak mu kerana terlewat menyedarinya.

            “Jom masuk cepat, patutlah ibu nak masak lebih hari ni. Anak ibu balik rupanya.” Ujar Salmah sambil menarik masuk tangan anak dan menantunya. Zaman mengikut dari belakang. Hilang rasa marahnya dengan anaknya itu. Sungguh ibu bapa mana, yang tak rindu akan anaknya.


            ‘Pulanglah, anakku!’