Terima Kasih kerana datang membaca dan memberi pendapat anda



Followers

Tuesday 25 July 2017

Jodoh Ramadan cerpen by Asyu Asyura

Cerita pendek sahaja
Selamat membaca


Tajuk : Jodoh Ramadan



Shaz melangkah masuk ke dalam rumah dengan beg plastik di kedua-dua belah tangannya. Lantai sudah tidak dapat dilihat, betapa banyaknya barang yang dibeli oleh dia. Mata melilau memandang ruang tamu yang kosong. Line clear!

“Ya Rabbi!!! Shazwan! Apa kena dengan kamu ni beli barang banyak macam ni!” marah suara yang nyaring tetapi kalau mendodoikan Shaz, mahu dia terlena.

“Erk... er...” Shaz terkulat-kulat di depan pintu. Muka sudah berpeluh dingin. Risau benar hati dia ini.

“Hah! Mulalah nak cari akal tu! Muhammad Shazwan awak tu lelaki, tetapi kalau pergi shopping kalah perempuan! Mama ni pun tak seteruk kamu ni tahu tak Shaz? Shopaholic betul!” rungut Puan Salina lagi. Tangan gatal mahu mencubit si anak teruna, sakit hati dia melihat beg-beg berjenama di kiri dan kanan Shaz.

“Alah mama, bukan Shaz guna duit mama pun.” Bebel Shaz sendiri, memang dia kalau merajuk, marah mulalah mulut tu terkumat-kamit membebel sendiri.

“Mulut tu! Hah, marahlah tu. Shaz... kita ni orang Islam tak elok membazir, kalau sekali sekala tak apalah juga, ini setiap kali membeli-belah! Membazir, bukan semua pula tu kamu guna, kalau disedekahkan tak apalah juga. Ini, simpan buat pekasam!” Puan Salina sudah beralih dari menghalang anaknya masuk ke dalam rumah. Penat menasihat, marah tetapi Shazwan buat pekak sahaja.

“Suka hati kamulah, mama harap kamu dapat isteri yang bertentangan dengan kamu! Biar dia kontrol kamu yang hantu shopping ni!”

“Eh, mama ni, doa macam tu pulak. Dah lah esok nak puasa dah. Shaz bukan apa ma, sekarang tengah sale, alang-alang Shaz beli jelah.” Ujar Shaz sambil meletakkan beg-beg itu ke tepi dinding.

“Mama tak fahamlah kamu ni, ada offer ke sale ke, membeli macam esok dah tiada dalam kamus hidup kamu.” Rungut puan Salina.

Shaz merapati mamanya. Tangan puan Salina dicapainya.

“Mama, Shaz tengah stress dengan hal pejabat. Shopping je yang boleh bantu Shaz releasekan stress Shaz. Bukannya Shaz sengaja nak membeli mama. Dah jadi tabiat Shaz.” Ujar Shaz apabila melihat puan Salina seperti nak tak nak sahaja melayan dia.

“Ikut kamulah Shaz mama nak yang terbaik sahaja untuk kamu.”



Shaz memakai baju melayu baru dibelinya sempena malam Ramadhan yang pertama. Terasa bersemangat dia memakai baju baharunya itu. Mamanya tidak faham perasaan yang muncul tatkala dia membeli sesuatu. Satu kepuasan yang tidak terkata.

“Mama, Shaz pergi bahagian lelaki dulu, karang mama tunggu je dekat sini tau.” Kata Shaz sambil pergi ke bahagian lelaki. Dia merapatkan saf dengan para jemaah yang ada. Alhamdulillah kali ini dia dapat merasai nikmat Terawih sekali lagi.



“Opocot, mak kau mak aku jatuh!” latah suara lembut tetapi nyaring itu. Shaz pun naik terperanjat mendengar latah gadis itu. Dada diusap-usap. Mujur tak gugur jantungnya.

‘BOOM!’ bunyi mercun bola berkumandang sekali lagi. Tak semena-mena tubuh Shaz jadi mangsa. Kena hempuk dengan beg telekung dua tiga kali. Kuat juga perempuan ni. Mau lebam badan Shaz ni.

“Eh, awak ni dah kenapa?” tanya Shaz agak kuat, yelah kena hempuk dengan beg telekung yang mungkin berisi botol air mineral mana tak sakit hati.

“Sorry! Sorry sangat-sangat! Saya terkejut sungguh bukan sengaja. Eh budak-budak ni pun, puasa pun tak start lagi dah main mercun. Tak sayang betul dengan jari-jari dan anggota badan, buatnya putus, kudung tak ke naya je.” Bebel perempuan itu. Nampak macam muda lagi. Mungkin 19 atau 20 tahun. Sayang, muda-muda dah melatah.

“Hm... budak-budak bukan dengar pun awak membebel. Lain kali cuba tahan latah tu ye, mujur beg, kalau pisau yang awak pegang mungkin arwah saya ni. Puasa pun tak sempat lagi, terawih baru satu malam.” Kata Shaz sambil mengibas bajunya.

“Shaz! Kat sini rupanya kamu, penat mama tunggu dekat depan tu tadi.” Kata puan Salina sambil mencubit ‘ketam’ lengan anaknya. Shaz mengaduh sakit.

“Apa ni mama? Sakitlah!” rungut Shaz sambil menggosok-gosok tempat yang dicubit oleh mamanya tadi.

“Mak cik, maaf sangat, saya yang buat anak mak cik lambat. Saya ni melatah. Terpukul anak mak cik ni. Maaf ye mak cik. Maaf ye encik.” Kata si gadis dengan muka bersalah. Macam comel pula Shaz tengok. Eh, lari topik sangat dah ni!

“Lah ye ke. Hm... bukan sengaja. Kesian dekat anak ni, muda-muda dah melatah, menurun siapa latah ni?” tanya puan Salina.

“Hehehe, padah suka mengusik arwah mak cik saya, menurun dari dia la agaknya.” Ujar si gadis tersipu-sipu malu.

“Maaf sekali lagi encik.” Pinta si gadis sekali lagi apabila Shaz tidak menjawab maaf yang diberikan.

Shaz mengangguk kecil. Dalam hati mula wujud satu perasaan baru yang asing baginya.

“Eh, ralit bersembang ni, nama anak siapa?” tanya puan Salina.

“Raisya mak cik.” Raisya menyalami puan Salina selepas menyedari dia tidak sempat berbuat begitu di dalam masjid tadi.

“Sedap namanya tu, nama mak cik Salina, ini anak mak cik Shazwan.” Puan Salina memperkenalkan Shaz. Shaz menayang muka kelat. Raisya yang perasan pantas meminta diri. Yelah orang dah tak suka, buat apa tersua-sua lagi.

“Hm, Sya minta diri dulu ye mak cik. Kalau panjang umur jumpalah kita esok, Raisya setiap hari datang masjid ni, tolong moreh sekali dengan terawih di sini.” Kata Raisya sambil menyalami tangan puan Salina.

“Oh, baguslah tu! InsyaAllah esok jumpa lagi ye Raisya.” Kata puan Salina sambil memerhatikan si gadis itu beredar dari perkarangan masjid itu.

Shaz pula kaku. Macam patung. Puan Salina mencuit anaknya itu tetapi tidak sedar juga, Shaz masih memerhatikan tempat Raisya beredar tadi. Puan Salina tersenyum penuh dengan rasa gembira. Kalau betul jodoh anak dia, Alhamdullilah, jodoh Ramadhan la ni kalau betullah jadi...



Shaz setia menjadi jemaah masjid itu Ramadhan kali ini. Suka benar dia memerhati gelagat si Raisya menolong memasak dan mengedarkan makanan. Manis betul si gadis yang melatah itu. Sayangnya ada satu lagi benda yang membuat Shaz agak berat nak menyampaikan rasa hatinya. Raisya seorang yang kedekut nauzubillah! Shaz pernah terserempak adik Raisya datang ingin meminta duit membeli t-shirt keluaran baharu, Raisya tidak memberikan adiknya duit malah melarang adiknya itu dari pergi membeli t-shirt itu. Terngiang-ngiang kata-kata Raisya kepada adiknya di telinga Shaz.

‘Kalau Along tahu, kamu pergi beli jugak, jangan harap duit poket bulan ini along kasi! Cuba berjimat sikit! Nak beli t-shirt harga beratus-ratus buat apa? Nanti pakai dekat badan jugak!’ garang suara Raisya kepada adiknya itu sampai Shaz pun terhenjut-henjut bahu menahan amarah dari nada ayat Raisya.

“Hah, mengintai anak dara orang je kerja kamu ni Shaz! Mama tak ajar tau jadi penakut, kalau berani masuk meminang teruslah!” Puan Salina mencabar Shaz. Terkulat-kulat Shaz. Amboi, mamanya ni mencabar sampai masuk meminang, kalau cabar pergi tegur, berbaik-baik ke...

“Mama ni, ingat senang ke?” kata Shaz sambil menyandar ke dinding, masih berbaki 15 minit masa sebelum waktu Isyak masuk.

“Senang je. Duit kamu dah tentu banyak. Masuk je meminang. Kalau terima adalah jodoh, kalau tak, tak adalah jodohnya tu.” Kata puan Salina sambil menarik senyuman bermakna.

“Tapi...”

“Hm... tahu dah. Tapi dia kedekut kan?” tanya puan Salina.

Shaz menganggukkan kepalanya. Puan Salina ketawa kecil.

“Dia bukan kedekut Shaz, tetapi dia tahu apa nilai duit. Berharganya setiap sen. Bukan macam kamu, membazir je kerjanya. Mujur bulan Ramadhan ni. Kalau tak mama kata kamu tu sahabat setan tahu!”

“Ada pula macam tu mama. Ye... Tapi Shaz tak tahu Shaz boleh hidup ke dengan isteri yang kawal perbelanjaan Shaz ma. Nanti jadi gaduh pula.” Kata Shaz sambil mengerling susuk tubuh Raisya yang masih sibuk menolong.

“Hm... kalau cinta boleh je. Tolak ansur tu memang kunci dalam rumah tangga. Macam mama dengan arwah papa.” Ujar puan Sakinah sambil menuju ke arah tempat wuduk meninggalkan Shaz termenung seorang diri.



“Ehem!” dehem Shaz disebelah Raisya yang sibuk membantu mak cik-mak cik yang ada membungkus makanan. Sudah 25 Ramadhan, Raisya masih setia dengan memerah tenaganya di masjid itu. Hal itu membuat Shaz semakin jatuh hati dengan Raisya.

“Opocot, bubur lambuk terlambak!” latah Raisya yang sedang asyik menceduk bubur lambuk ke dalam mangkuk putih lutsinar itu. Mujur senduk bubur tak melayang ke arah Syaz kalau tak, mahu lebam matanya.

“Eh, eh, baik-baik la awak, kalau kena tadi tak sempat saya nak beristerikan a... eh! Tak ada apalah!” pantas Shaz menutup kata-katanya. Terlepas pula cakap dia. Muka Shaz dah memerah.

“Hah? Apa awak cakap? Saya tak perasanlah.” Ujar Raisya yang baru hilang terkejutnya. Shaz berasa lega tetapi sedikit terkilan Raisya tak dengar isi hatinya.

“Tak ada apa-apalah. Saya saja je datang tengok ni. Hari tu saya ada nampak adik awak. Ramai ke adik beradik awak?” tanya Shaz cuba mengubah topik. Padahal semua dia dah korek dari si adik Raisya yang bernama Aiman itu. Dia songgok dengan t-shirt yang Aiman inginkan itu. Semua habis dibocorkan Aiman.

“Oh,haah, tu adik saya hari tu, nama dia Aiman. Saya ada lagi 2 adik. Laili dengan Aisy. Dua-dua sekolah rendah lagi. Aiman tu je yang form 5. Saya anak sulung.” Cerita Raisya sambil melakukan kerjanya.

Shaz terangguk-angguk.

“Rajin  ye awak buat kerja dekat sini. Tak penat ke?” tanya Shaz lagi.

“Alah, setahun sebulan je saya boleh berbakti macam ni. Apa salahnya.  Kerja pun tak susah mana. Dapat kenal-kenal dengan mak cik-mak cik dekat sini. Seronok apa.” Terang Raisya.

“Hm.. baguslah. Dapat juga saya kenal awak sebab awak buat kerja dekat sini. Hm... awak ada yang punya ke?” tanya Shaz, mujur tak tergagap. Padahal dalam hati dah berombak tsunami dah ni.

“Er... tak ada yang nak kan saya ni. Saya ni jenis berjimat. Lelaki tak berapa suka bila saya cuba kawal perbelanjaan mereka. Bukannya saya tak bagi langsung tapi mungkin lelaki tak suka di kongkong agaknya.” Raisya melihat wajah Shaz. Dia tahu Shaz ni pemboros dari Puan Salina.

“Uhuk! Uhuk!” Shaz tersedak angin. Boleh pula dia tersedak angin. Separuh nyawa jugalah nak bagi reda.

“Awak okay tak ni?” tanya Raisya prihatin.

“Er.. okay. Saya minta diri dulu ye.”



Shaz memerhatikan Raisya dengan seorang lelaki yang boleh tahan kacak. Muda pun muda. Sakit pula hatinya memerhatikan Raisya dan lelaki itu. Gayanya seperti rapat sangat.

“Kamu dah kena Shaz? Merah sangat muka tu demam ke?”  tanya puan Salina ikhlas. Risau juga, bulan puasa ni selalu sangat suhu mencacak naik. Dugaan Ramadhan.

“Okay!” garang suara Shaz. Tersentak puan Salina. Terus dia pandang ke arah jelingan Shaz.

“O... patutlah.” Kata puan Salina sendiri.



“Raisya jangan marah mak cik nak tanya sikit. Boleh ke?” tanya puan Salina sambil menolong Raisya menuang air ke dalam cawan.

“Boleh je, apa soalannya mak cik?”

“Siapa lelaki tadi tu? Macam rapat je dengan Raisya, bakal suami ke?”

“Eh, tak adalah! Tu pak cik Raisya yang paling bongsu.” Raisya terus memandang wajah puan Salina.

“Alhamdulillah. Senanglah kerja mak cik nanti.”

“Kerja apa mak cik?” tanya Raisya dengan dahi berkerut. Lega benar wajah puan Salina ketika ini.

“Hehehe kalau mak cik pinang Raisya untuk anak mak cik boleh?” tanya puan Salina terus.

“Hah! Anak yang mana pulak ni mak cik? Tak kan encik Shazwan tu?” tanya Raisya dengan wajah tak percaya. Pipi dah memerah. Alahai, ada hati jugak rupanya si Raisya ni.

“Untuk Shazwan la. Dia je anak lelaki mak cik. Nak ke?” tanya puan Salina dengan senyum lebar.

“Er... mak cik tanyalah mak ayah saya.” Kata Raisya malu-malu.

“Sungguh ni? Lusa mak cik datang dengan rombongan. Bagitahu mak ayah. Tak payah nak beria-ria, dalam bulan puasa ni eloklah kita bersederhana.” Kata puan Salina dengan teruja. Raisya mengganguk dalam segan.



“Alhamdulillah, setujulah ni ye. Lepas raya, sebulan lepas tu kita langsungkan dia orang ye pak Haji?” tanya puan Salina dengan senyum lebarnya.

“Ye ye, Boleh sahaja. Kami ikutkan je, anak dara kami pun kata serah kan pada saya. Eloklah kita buat awal-awal.” Kata Encik Mohd dengan senyumannya. Puan Wani menepuk lembut paha Raisya yang tertunduk malu.



“Mama! Macam mana Ok ke?” tanya Shaz.

“Alhamdulillah, sebulan lepas raya kamu nikah.”

“Yeay!!!”

“Amboi, suka benar tu! Kata tak suka kena kongkong!” usik puan Salina.

“Eh, mama ni! Mana ada. Kongkong untuk kebaikan tak apalah.” Ujar Shaz yang tergaru-garu kepala.

“Hah, pergi jumpa tunang kamu tu, kejap je. Bawak bersabar lepas raya kahwin.” Usik puan Salina lagi.

“Mama!” terjerit Shaz menahan malu.



“Erm... Awak terima kasih sudi terima pinangan saya.” Ujar Shaz.

“Er... Kenapa ye awak pilih saya?” tanya Raisya yang masih tidak boleh memandang wajah Shaz.

“Sebab peribadi awak. Walaupun awak melatah tapi peribadi awak cantik.” Ujar Shaz.

“Tapi sayakan kedekut?”

“Bukan kedekut tapi jimat. Saya juga nak ubah diri saya. Dengan adanya awak dalam hidup saya nanti mungkin saya boleh berubah. Dengan izin-Nya.” Kata Shaz.

Raisya mengerling wajah Shaz. Dia memang jatuh hati dengan Shaz dan dia sudah pun buat istikharah. Petunjuk-petunjuk itu banyak ke arah Shaz. Dia yakin Shaz jodoh dia.

“Hah! Dah-dah! Jom balik. Amboi, jodoh Ramadan ni, nasib la jaga batas. Tunggu lepas raya. Tak lama dah tu.” Usik encik Mohd. Disambut gelak ketawa puan Salina dan puan Wani.

Moga jodoh Ramadan mereka kekal ke jannah.

Tamat.

No comments:

Post a Comment

Dah baca Harap KOMEN Boleh bantu Asyu :)