Friday, 22 March 2019

Sesuci, Nur Hanan ~ Bab 2




Bab 2



Hanan sampai tepat jam 7.20 pagi. Loceng pertama baru sahaja berbunyi. Dengan pantas Hanan meletakkan basikalnya ke tempat yang disediakan pihak sekolah. Beberapa orang pelajar menjeling-jeling basikalnya itu. Hanan buat endah tak endah, bukan berdosa pun  ada basikal yang tidak cantik.


            “Kau tengok budak tak sedar diri ni Halim... dah la bawak basikal tua, buruk pulak tu... memang padanlah dengan diri dia yang bukan dari benih yang halal tu...” bising seorang pelajar lelaki yang lebih tua dari Hanan. Hanan kenal, terlalu kenal dengan seniornya itu. Malik bin Mustafa. Lelaki yang baru menginjak ke zaman remaja itu selalu mencari pasal dengannya. Ada sahaja benda yang salah di mata lelaki itu.

            “Haah... ei... geli aku...” ujar Halim dengan lengang lengoknya. Malik ketawa suka apabila beberapa pelajar yang lain turut mengikuti aktiviti menyakiti Hanan. Hanan menahan sebal. Bibir tidak lekang dengan senyuman.

            “Maaf, saya dah lambat.” Ujar Hanan. Risau juga jika cikgu-cikgu mula mengecop dirinya pelajar malas.

            “Lantak la kau lambat ke apa ke? Ada aku kesah?!” sergah Malik. Badan Malik yang besar, tingkah Malik yang kasar, suara kasar Malik membuat Hanan teringat kepada Mukhriz. Badan Hanan mula menggigil. Bayangan Mukhriz mula muncul menghantui dia.

            “Saya kena pergi.” Tegas suara Hanan, namun masih lemah di telinga Malik. Malah Malik mendengar suara Hanan bagai merayu-rayu meminta dirinya dilepaskan. Malik terhibur dengan anggapannya.

            “Ewah... ewah! Suka hati kau. Siapa kasi kau kebenaran?!” tengking Halim pula. Kepala Hanan ditunjal-tunjal. Malik jadi semakin suka melihat Hanan begitu. Mata Hanan mula berkaca.

            “Tolonglah jangan buat saya macam ni.” lirih suara yang keluar. Air matanya terlepas dari kelopak mata. Halim dan Malik ketawa mengekek.

            “Lembik! Mengada! Kita orang tak buat apa-apa lagi dah menangis.” Malik menolak kepala Hanan, kasar. Hanan terhantuk ke tiang tempat meletak basikal itu. Terasa bergetar dunianya. Tangan memegang kepala yang pusing. Hanan jatuh terduduk.

            “Hah! Buat apa tu? Berkumpul apa lagi ni? Lagi 5 minit berhimpunan!” tegas suara itu berkata. Zaidi, guru muda yang sedang menjalani latihan pratikal muncul memantau pelajar-pelajar yang lambat.

            “Eh, kenapa ni?” Zaidi pantas bertinggung di sebelah Hanan yang masih memegang kepala. Malik dan Halim pantas melarikan diri.

            “Tak ada apa-apa cikgu. Saya terhantuk ke tiang ni je.”

            “Betul ke ni?” Tanya Zaidi sekali lagi. Jelas dia merasakan ada sesuatu yang cuba dilindungi gadis cilik ini.

            “Ye. Terima kasih cikgu. Saya dah okay ni. Saya pergi beratur dulu ye.” Hanan bangun walaupun kepalanya masih pening. Dia tak mahu guru itu tahu apa yang berlaku kepada dirinya. Mesti guru itu masih baru, kalau tidak masakan dia datang menolong Hanan. Tiada seorang pun guru sekolahnya menunjukkan sikap prihatin kepadanya. Cuma seorang tua, tukang kebun sekolah sahaja yang sering berbual dengan dia.

            “Hm, sama-sama.” Jawab guru muda itu. Zaidi menggeleng kepala. Dia dapat merasakan Hanan jelas menyembunyikan masalahnya. Namun dia tiada hak memaksa gadis itu menceritakan hal yang sebenarnya.

--



            “Cikgu Zaidi, macam mana hari ketiga dekat sini, okay?” tanya Imran, juga guru baharu di sekolah itu, tetapi sudah hampir sebulan dia disini.

            “Okay je... Tapi...” Zaidi mengeluh.

            “Hah, dah kenapa? Citer jelah.” Imran sudah menarik kerusi duduk disebelah Zaidi. Zaidi menggaru kepala.

            “Tak. Tadi pagi, aku kan meronda pagi ni tengok budak datang lambat.”

            “So? Ada budak merokok ke?”

            “Tak la. Ada sekumpulan budak tadi. Aku pun pergilah tegur. Semua berlari pergi dataran, lepas tu aku nampaklah budak perempuan ni. Macam kena buli je. Tapi aku tak tahu lah. Bila aku tanya dia ok ke tak? Dia kata dia ok je.” Terang Zaidi.

            “Ye ke? Huish, ada buli-buli jugak ek sekolah ni. Aku ingat sekolah kampung macam ni tenang je, budak-budak nakal tu biasa la... Tapi membuli ek. Hm, apa nama budak tu?” Tanya Imran lagi.

            “Allah aku lupa pulak nak tanya. Dia tak pakai name tag. Tapi muka dia unik sikit, putih melepak macam anak orang putih, tapi mata, mata, kening, mulut semua melayu. Hidung dia pun mancung, tapi bukan mancung Arab tu, mancung orang putih.” Zaidi terbayang-bayang muka Hanan.

            “Macam orang putih ek? Hm... Hanan kot! Haa... dia budak kelas yang aku incharge, 3 Melati. Nama dia Nur Hanan, cantik budak tu, pandai pulak tu. Asyik dapat 100% bila aku buat test mini.” Imran terangguk-angguk teringatkan Hanan.

            “Oh...”

            “Tapi kan...” Imran terjeda.

            “Kenapa?”

            “Cikgu-cikgu lain pesan dekat aku masa aku mula-mula masuk sekolah ni, dia kata jangan rapat sangat dengan Hanan tu. Aku pun... macam, dah kenapa? Lepas tu dia orang cerita yang Hanan ni anak luar nikah. Mencacatkan kampung dan nama sekolah ni. Yelah anak haram kata dia orang.” Cerita Imran bersungguh-sungguh sambil memeluk tubuh.

            “Ya Allah pemikiran apalah dia orang ni? Dengan cikgu-cikgu pun macam tu.” Zaidi mengucap panjang. Dia memandang Imran. Kening terangkat sebelah.

            “Kau pun sama ke?”

            “A... aku... Aku tak adalah sampai extreme cikgu sekolah ni. Aku cakap juga dengan dia tapi tak adalah depan orang. Aku bukan apa, nanti semua orang pulaukan aku.” Imran menerangkan dengan muka bersalah. Zaidi mengeluh.

            “Aku tak fahamlah. Zaman tak adalah mundur macam tahun 60-an, 70-an, sekarang ni dah 2003 tau. Pemikiran still kolot. Apa salah budak tu? The mistake was made between the parent. Hanan tu lahir sebab mak bapak dia buat hal. Bukan Hanan tu minta nak lahir sebagai anak luar nikah.” Zaidi mula bercakap panjang. Imran menyiku Zaidi. Zaidi terdiam. Pantas dia membuat mulut bertanyakan apa.

            “Eh, Cikgu Zahara! Dah habis kelas ke?” Tanya Imran.

            “Habis apanya. Budak-budak tu bising betul. Saja je saya lari kejap. Cikgu berdua ni tak ada kelas ke?” Wanita berumur dalam linkungan 40-an itu mula bertanya.

            “Eh, ada. Lagi 10 minit. Tu saja duduk bersembang dengan cikgu Zaidi ni. Tanya pengalaman dia.”

            “Hah, macam mana cikgu? Okay ke kerja sini?”

            “Okay je. Tenang je.” Jawab Zaidi dengan nada tertahan. Zaidi geram dengan apa yang berlaku kepada Hanan.

            Zaidi bangun dari mejanya. Dicapai buku-buku dan dia mula melangkah keluar dari bilik guru itu. Imran tergesa-gesa mengikuti langkah Zaidi.

            “Hm... pelik-pelik budak sekarang ni.” bisik Cikgu Zahara seorang diri.

---



            “Assalamualaikum semua.” Suara Imran bergema di dalam kelas 3 Melati. Bersemangat anak-anak berusia 10 tahun itu melihat dirinya di hadapan.

            “Waalaikumusalam cikgu Imran!” Jawab ketua kelas diikuti murid yang lain. Imran tersenyum. Namun senyumannya mati apabila melihat Hanan seperti dipulaukan oleh rakan sekelasnya. Mejanya dijarakkan jauh dari rakan sekelas lain.

            “Kenapa meja macam ni? Jadi serabut cikgu tengok. Kemas balik!” tegas Imran memberi arahan.

            Budak-budak kelasnya mula menggerakkan meja mereka kembali. Perlahan sahaja pergerakan mereka. Imran menggeleng tanda tidak mengerti dengan keletah murid-muridnya. Imran memeluk tubuh.

            “Cepat! Bila nak mula kelas ni kalau gerak lembab macam ni?” Imran mula membebel.

            Terus laju budak-budak itu bergerak membetulkan meja. Namun rakan semeja Hanan duduk dihujung meja. Seperti geli, terlalu geli dengan Hanan. Hanan hanya menundukkan wajah sepanjang rakan sekelasnya memperlakukan dia begitu. Dalam diam, Hanan membuka buku teks Bahasa Melayunya.

            “Okay, selesai dah ke?” Tanya Imran sambil tersengih. Melihat semua sudah bersedia membuka buku teks, Imran mula menulis di papan hitam.

            “Buka muka surat 28, baca dan faham apa yang ada dekat situ.”

--



            “Okay Faiza kutip buku latihan kawan-kawan awak, lepas tu hantar ke meja saya. Faham?” Faiza mengangguk faham. Imran melangkah keluar dari kelas itu.

            Tak sampai lima minit Imran duduk di mejanya, Faiza membawa buku latihan. Imran mengira buku latihan yang ada. Dahinya berkerut.

            “Aik, ada 24 je, tak cukup satu ni. Mana lagi satu? Siapa tak hantar?” Tanya Imran. Zaidi yang duduk berdepan dengannya, mengintai dari kubikal miliknya.

            “Hm... Budak tu tak hantar lagi.” Jawab Faiza perlahan.

            “Budak mana?” Imran bertanya sekali lagi. Faiza hanya berdiam.

            “Budak mana?” tegas suara Imran.

            “Hanan.” Faiza mula memandang kasutnya. Memang dia sengaja tidak mengutip buku Hanan. Tak suka dengan budak itu.

            “Kenapalah awak ni ye. Saya tahu kenapa awak tak kutip buku dia sekali. Tapi cubalah jangan macam tu.” Tegur Imran perlahan. Muka Zaidi dah berubah. Tak sangka budak sekecil itu boleh ada sikap diskriminasi yang sangat tinggi.

            “Sorry cikgu.” Faiza hampir menangis.

            “Okaylah. Balik kelas. Lain kali jangan buat lagi.” Habis Imran berkata begitu, Faiza sudah berlari keluar dari bilik itu. Tak lama kemudian, Hanan masuk ke bilik guru dengan wajah memandang kaki.

            “Eh, Hanan!” Zaidi menegur Hanan. Hanan terpinga-pinga. Tak pernah ada cikgu yang bersemangat menegurnya.

            “Hm, awak nak hantar buku latihan ke?” tanya Imran. Hanan mengangguk perlahan.

            “Kenapa awak hantar asing-asing ni? Awak kena buli ke?” Zaidi menambah. Hanan menguis-nguis jari tangannya. Hanan menggeleng.

            “Betul ke ni?” tanya Zaidi lagi.

            “Betul cikgu.” Perlahan suara Hanan kedengaran. Imran memandang Zaidi, Zaidi memandang Imran.

            “Yelah, awak masuk kelas cepat. Karang marah pulak cikgu kat kelas awak tu.” Imran memecahkan keheningan. Pantas Hanan menyerahkan bukunya dan berlari ke kelasnya.

            “Hm... kita nak tolong dia macam mana kalau dia macam tu?” soal Imran. Zaidi hanya bangun dengan wajah kelat. Dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dia lakukan.

--



            Hanan tersenyum melihat jam di dinding. Tak sabar mahu melangkah pulang. Terbayang-bayang wajah adik-adiknya yang sedang menunggu. Wang RM1 di dalam poketnya diusap-usap. Mahu belikan coklat untuk adiknya-adiknya. Hanya 50 sen sahaja yang akan digunakan. Lagi 50 sen dia simpan di dalam tabung rahsianya.

            Tepat jam 1.45 tengahari, loceng sekolah berbunyi kuat. Hanan hanya  duduk menunggu kawan kelasnya berlalu pergi. Selepas kelasnya lenggang barulah dia bangun dan melangkah keluar.

            “Satu untuk Ansar, satu untuk Laili, satu untuk Ibu. Hm... ada baki 20 sen lagi. Belilah lagi dua untuk Ansar dan Laili.” Kata Hanan perlahan pada dirinya sendiri. Hanan melangkah keluar dari bangunan sekolah.

            Zaidi yang hanya duduk menunggu Imran membawa motornya keluar dari perkarangan sekolah di perhentian bas terus tegak melihat Hanan. Hanan melompat riang ke arah kedai di dalam sekolah. Zaidi tergelak kecil.

            “Barulah ada rupa budak sekolah rendah sikit. Kalau tak macam orang dewasa je muka dengan kelakuan dia ni.” Zaidi berkata sendiri. Zaidi memerhatikan tingkah laku Hanan.

            Hanan mendapatkan balang coklat berharga 10 sen satu batang. Di ambil sebanyak lima batang coklat di dalam balang itu. Diserahkan duit syiling kepada mak cik yang menjual. Selepas simpan coklat ke dalam beg, Hanan melangkah mendapatkan basikal tuanya dari tempat meletakkan basikal.

            Perlahan-lahan basikal itu dikayuhnya. Dia benar-benar menikmati keindahan pemandangan pada tengahari itu. Panas seakan tidak dirasa.

            ‘Kriuk, kriuk.’ Bunyi basikal setiap kali dia mengayuh.

            “La, la, la, la, la, la, la...” nyanyi Hanan dalam nada lagu Basikal Tua.

            Zaidi menggeleng kepala melihat kelakuan Hanan itu. Tak lama kemudian Imran muncul dengan motosikalnya. Zaidi mencekak pinggang.

            “Kenapa kau lambat?” marah Zaidi. Imran tersengih.

            “Cikgu Munah tahan kejap.”

            “Oh... bab awek bukan main lagi ye kau. Taulah cikgu Munah tu cantik. Tapi sanggup kau biarkan kawan kau ni berpanas macam ni.”

            “Alah adik kenalah beralah.”

            “Adik sangat!”

            “Adiklah, kau baru 20 tahun kannnn.” Ujar Imran sambil mengangkat kening.

            “Kau tu yang tua, aku ni tak muda pun. Sedang-sedang elok je. Kau tu dah 25, tua bangka! Memang patut kahwin.” Ujar Zaidi sambil memanjat motor Imran. Imran memulas minyak, membuat Zaidi hampir terjatuh.

            “Woi! Jatuh aku tadi kena kau!” Zaidi menepuk bahu Imran yang sedang ketawa mengekek dengan telatah Zaidi.

            “Dah-dah, jom. Lambat dah ni.” ujar Imran sekali lagi memulas minyak.

            Perlahan-lahan mereka meninggalkan perkarangan sekolah. Zaidi masih tersenyum walaupun Imran membawa motor seperti pelesit bak kata emaknya.

No comments:

Post a Comment

Dah baca Harap KOMEN Boleh bantu Asyu :)