Thursday, 16 July 2015

Maafkan Luf, Ibu sebuah Cerpen

Cerpen Hari Raya 2015
Tajuk : Maafkan Luf, Ibu.
Penulis : Asyu Asyura


Assalamualaikum semua... Selamat hari raya, maaf zahir batin. Kosong-kosong ye semua. Kepada yang ada ibu ayah... ingat-ingatlah mereka... sementara mereka ada senang-senangkanlah hati mereka.
-

Laman luas itu dipandang kosong. Air mata bergenang. Keluhan dilepaskan. Mak Siti mengesat air matanya. Sakinah menyentuh bahu Mak Siti perlahan. Tahu wanita itu menanggung rindu yang bukan sedikit.

            “Mak Siti...” panggil Sakinah perlahan.

            Mak Siti berpaling perlahan. Tangan anak saudara yang setia melawatnya diusap lembut.

            “Rindu?”tanya Sakinah sambil tersenyum hambar. Perlahan Mak Siti mengangguk.

            “Sabar, Kinah yakin, nanti abang Lufti balik tahun ni.” Kata Sakinah kurang yakin. Tahu... mungkin abang saudaranya itu tidak akan pulang lagi tahun ini. Sudah 5 tahun Lufti tidak pulang beraya, bukan sahaja tidak balik beraya tetapi menjenguk ibunya sendiri pun tidak dalam 5 tahun ini.

            “Betul ke Kinah?” tanya Mak Siti penuh berharap. Lama dia tidak menatap wajah anak kesayangannya. Entah bagaimana rupanya sekarang, maklumlah bermentuakan CEO syarikat besar.

            Sakinah mengangguk perlahan. Mengiakan sahaja. Mahu mak saudaranya bersemangat kembali.

            “Jom Kinah, kita masak, nanti nak berbuka dah.” Kata Mak Siti sedikit tidak sabar. Sekarang baru 5 hari berpuasa, ada lagi 25 hari lagi sebelum raya menjelma. Rindunya dengan anak tunggalnya Lufti.

            -

            “Sayang, tahun ni kita raya rumah mummy I kan?” tanya Sabrina, isterinya Lufti. Tangan asyik bermain dengan butang baju suaminya. Lufti mengeluh perlahan. Tangan isterinya dicapai.

            “But sayang, dah lima tahun abang tak balik rumah ibu.” Kata Lufti perlahan. Menahan rasa.

            “Alah... mummy dah janji nak masakkan I daging salai masak lemak. Khas untuk I. Kesian mummy penat masakkan untuk I. Tak kesian ke dekat mummy tu, bang? Dahlah sakit.” Kata Sabrina dengan suara yang sengaja disedih-sedihkan.

            “Abang.... ibu dekat kampung tu macam mana?” tanya Lufti serba salah. Rindu dihatinya pada ibu tersayang bagai mahu meletup. Tapi... dia sayangkan isterinya.

            “Ala... nanti kita baliklah... raya keempat ke...” pujuk Sabrina. Lufti mengangguk kecil. Tahu isterinya berbohong. Selama 5 tahun itulah alasan sang isteri. Entah bilalah dia akan berjumpa dengan ibunya. Dalam sudut hatinya dia berharap sangat kali ini janji isterinya akan ditunaikan. Hendak buat macam mana, dirinya sendiri ditanggung bapa mentuanya. Tak akan dia nak melukakan hati bapa mentuanya? Dia lupa... ibunya dikampung, merupakan tiket dia ke syurga Allah.

            “Macam tulah suami kesayangan I, sayang you...” kucupan mesra hinggap dipipi Lufti. Lufti tersenyum dalam duka. Duhai isteri...

-

15 Ramadhan

            Mak Siti sibuk di dapur. Tangan ligat mengacau adunan kuih. Kuih samprit. Pasti anaknya gembira bila pulang nanti bila kuih kegemaran terhidang didepan mata.

            Walaupun penat, mulutnya sentiasa menghidangkan senyuman.

            “Assalamualaikum! Assalamualaikum Mak Siti!” laung Sakinah. Sebelah tangan membawa mangkuk tingkat, kiriman dari emaknya.

            “Waalaikumusalam, Kinah ke tu? Masuk le dalam.” Laung Mak Siti yang masih setia di dapur.

            Sakinah melangkah ke dapur. Mak saudaranya kelihatan bahagia membuat kuih.

            “Kinah la ni. Sapa lagi yang cantik ayu dalam kampung ni? He he he, mak Siti ni emak kirim lauk untuk berbuka.” Kata Sakinah sambil meletakkan mangkuk tingkatnya ke atas meja. Matanya membulat melihat kuih samprit mak saudaranya. Kelihatan sedap benar.

            “Ha ha, memanglah Kinah cantik ayu, kata anak sedara mak Sitikan... Terima kasih banyak-banyak. Mak Kinah tu baik benar orangnya. Walaupun ayah Kinah dah tak ada, dia tetap layan Mak Siti macam adik dia.” Kata Mak Siti dengan senyuman diwajah.

            “Ish, mak Siti ni ke situ pulak. Mak Siti memang ahli keluarga kami. Lagipun selain emak, mak Sitilah tempat Kinah bermanja.” Kata Sakinah sambil membantu Mak Siti menyediakan loyang.

            “Yelah.” Balas Mak Siti perlahan.

            “Banyaknya kuih mak Siti buat. Mesti sedap ni...” Sakinah pantas meletakkan loyang yang dah penuh dengan adunan cantik terbentuk ke dalam oven yang sudah siap dipanaskan.

            “Yelah le tu, entah sedap ke idak...” Mak Siti mencebik. Bab membodek anak saudaranya nombor satu.

            “Betullah, kuih ni, Sakinah ingat lagi, dulu abang Lufti ada, kuih Samprit Mak Siti menjadi rebutan orang kampung. Tak menang tangan mak Siti dengan abang Lufti membuatnya. Abang Luf... erk...” Sakinah kehilangan kata. Tahu dia terlajak sebut. Wajah mak Siti kembali muram. Pasti rindu menjengah lagi.

            “Maaf...” raut serba salah terpamer.

            “Tak apa. Entah ingat ke tidak abang Lufti kamu dengan kuih mak Siti ni...” air mata bergenang. Entah ingat lagi ke anaknya dengan dia.

            “Mak Siti...” air mata Sakinah mula menitis. Terasa bagaikan ibunya pula yang sedang berduka. Kenapalah abang sepupunya tegar membuat emak saudaranya menitis air mata.

            “Abang Lufti tak ingat tak apa, ni... ni Kinah ada.. Kinah selalu ingat dekat kuih Mak Siti. Nanti bekalkan sikit untuk Kinah ye...” pujuk Sakinah sambil memeluk ibu saudaranya. Mak Siti tersenyum. Dia beruntung ada lagi tempat untuk menumpang kasih

            “Hm... tak payah bekal-bekal. Ambik je banyak mana yang Kinah nak. Kinah pun anak Mak Siti jugak.” Kata Mak Siti. Pelukkan Siti dibalas.

            “Betul ni? Wah seronoknya! Tak sabar nak makan kuih mak Siti.” Kata Sakinah cuba menceriakan suasana yang semakin suram.

            “Eh... ada bau hangitlah!” kata Mak Siti sedikit kuat. Sakinah dan mak Siti berpandangan.

            “Kuih!” serentak mereka. Sakinah pantas mengeluarkan kuih dari oven. Sudah sedikit perang. Sayangnya.

            “Hahaha, berborak lagi! Kuih tu mak Siti nak Kinah habiskan masa buka nanti!” usik Mak Siti. Sakinah memuncungkan mulutkan mulutnya.

            “Hahaha cantiknya muka anak mak Siti ni!” kuat ketawa Mak Siti berdendang. Dalam diam bibir Sakinah turut mengukir senyuman.

-

            “Abang... jom shopping raya.” Tangan Lufti ditarik. Lufti hanya mengikut. Bagai lembu dicucuk hidung.

            “Abang nanti kita belikan mummy bunga Lily ye... bunga hari tu dah layu.” Kata Sabrina.

            Mereka sibuk membeli belah. Lufti hanya mengikut tanpa kata.

            Dikaunter pembayaran, Sabrina pantas menghulurkan kad kreditnya. Lufti terasa kerdil. Dia tahu, dia hanya menumpang kemewahan keluarga isterinya. Disebabkan itu, dia payah hendak melukakan hati keluarga itu.

`           “Abang tak nak apa-apa?” tanya Sabrina sambil memandang wajah suaminya. Kad kredit dihulurkan.

            “Betul?” tanya Lufti inginkan kepastian.

            “Ye... belilah... kesian I tengok abang asyik teman I je.” Ayat Sabrina bagai mengoyakkan maruahnya sebagai suami. Tapi, dicapai juga kad kredit milik isterinya.

            “Thanks sayang.” Ucap Lufti dengan senyuman terukir.

            “You’re always welcome. Mana hadiah I?” tanya Sabrina sambil mengerdipkan matanya. Lufti tergelak kecil. Pipi sang isteri dikucup mesra.

            Kebahagiannya terasa lengkap. Namun bagaikan ada sesuatu yang menyeru namanya. Lufti bagaikan terlupa ada yang setia menanti kasihnya, pelukkan dan ucapan sayang darinya. Orang yang telah banyak berkorban untuk dia.

-
           
25 Ramadhan

            Mak Siti masih setia menanti kepulangan anak tercinta. Pangkin rumahnya menjadi tempat setia menunggu sang anak. Telefon bimbit yang dihadiahkan anaknya pada 6 tahun lalu masih setia ditangan.

            Dengan penuh berharap nombor telefon anaknya di dail.

            ‘Maaf nombor yang anda hubungi...’ kecewa menapak di hati.

            Anak-anak kecil yang asyik bermain berlari di rumah jirannya dipandang lama. Bagaikan terlihat Lufti sewaktu kecil dahulu. Asyik bermain, sementara menunggu waktu berbuka. Rindunya dia dengan waktu itu, Lufti ketka itu asyik mengekorinya

            “Lufti..” sebutnya perlahan.

            Sakinah yang baru sampai, menahan air matanya dari tumpah.

            Ya Allah, ringankanlah kerinduan Mak Siti kepada abang Lufti... Doa Sakinah di dalam hati.

            Perlahan Sakinah menapak mendekati ibu saudaranya.

            “Mak Siti!” sengaja Sakinah menyergah, cuba menghilangkan duka diwajah itu

            “Ya Allah budak bertuah ni! Terkejut mak Siti. Ada aje kamu ni. Nasib baik mak Siti ni awet muda, kalau idak dah let go dah ni.”         

            “Ha ha ha kan... awet muda kan mak sedara Kinah ni.” Tambah Sakinah.

            “Tau tak pe...”Mak Siti menepuk bahu Sakinah.

            “Ha... sebab tu Kinah cun lagi cantik! Sebab mana nak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Betul tak Mak Siti?” kata Sakinah dengan senyuman nakalnya.

            Mak Siti mencubit pipi Sakinah. Geram dengan gelagat di anak saudara. Ada sahaja jawapannya. Sakinah melabuhkan punggung disebelah Mak Siti.

            “Mak Siti...” panggil Sakinah perlahan.

            “Ye anakku sayang.” Tangan mengusap-ngusap tangan Sakinah yang terletak dipahanya.

            “Mak Siti rindu?” tanya Sakinah. Walaupun dia tahu jawapan ibu saudaranya, dia tetap bertanya.

            “Rindu sangat. Kinah... Kinah rasa dia rindu tak dekat mak Siti?” tanya Mak Siti dengan senyuman tanpa rasa.

            “Mestilah rindu. Beruntung dia dapat ibu seperti Mak Siti.” Ujar Sakinah perlahan. Langsung tidak disebut nama Lufti. Tak mahu menambahkan kerinduan dan kesedihan Mak Siti.

            “Sakinah juga beruntung.” Ujar Mak Siti perlahan, kepala Sakinah diusap perlahan.

            “Mak Siti tak marah ke?” soalan yang paling kerap bermain di kepalanya ditanya. Mak Siti tertawa perlahan.

            “Buat apa nak marah Kinah.”

            “Tak akan mak Siti tak marah langsung?” tanya Sakinah lagi.

            “Marah tak, kecewa ya. Rindu ya. Dia satu-satunya anak mak Siti, dialah permata, dia lah juga kaca. Baik dia buruk dia, dia tetap anak Mak Siti.” Kata Mak Siti sambil tersenyum melihat anak kecil jirannya bermain.

            “Kinah kagum melihat mak Siti.” Kata Sakinah ikhlas.

            “Tak perlu kagum nak. Kasih ibu kepada anaknya tak terbelah bahagi. Dosanya pada Mak Siti, sentiasa Mak Siti ampunkan. Mak Siti Cuma berharap dia pulang menjenguk mak Siti.” Kata Mak Siti perlahan. Sebak semakin mencengkam. Batuk kedengaran kuat. Mak Siti terbongkok-bongkok menahan batuk yang menyerang.

            “Mak Siti, sabar ya... Suatu hari nanti abang Lufti pasti balik.” Kata Sakinah sambil mengusap belakang mak Siti.

            “Ya... Mak Siti hanya mahukan dia pulang. Walaupun ketika itu jasad Mak Siti sudah dimamah ulat.” Kata Mak Siti dalam sebaknya. Air mata perlahan mengalir. Sakinah turut mengalirkan air mata.

            -
20 Syawal

            Lufti terjaga. Badannya berpeluh sakan. Mimpi itu datang lagi. Sejak 1 syawal dia mula bermimpi, bermimpikan ibunya datang dengan telekung putih.

            Sabrina yang terasa terganggu dengan pergerakan suaminya terjaga.

            “Why abang? Mimpi lagi?” tanya Sabrina yang mamai.

            “Huh?! Sayang jom balik kampung.” Kata Lufti tiba-tiba.

            “Kenapa ni abang?” tanya Sabrina sedikit pelik.

            “Please abang nak balik jumpa ibu abang...” kata Lufti dalam tangisan. Sungguh dia rasa ada sesuatu yang terjadi kepada ibunya itu.

            “Tapi...” Sabrina cuba membangkang.

            “Kalau awak tak nak balik tak apa. Abang balik sendiri.” Kata Lufti sedikit marah. Lima tahun, lima tahun dia menahan rasa. Kali ini dia harus pulang.

            “Okay... but please tidur dulu. Esok kita balik.” Kata Sabrina sambil menguap. Mata dipejamkan. Harapnya Lufti lupa akan niatnya ingin pulang ke kampung.

            “Janji?” tanya Lufti yang kembali berbaring.
           
            “Janji.” Kata Sabrina sambil memeluk suaminya. Mata Lufti terkebil-kebil. Memerhatikan syiling yang terhias indah. Tapi tak mampu membuat dirinya tenang. Malam ini dia rasakan mimpinya paling sedih. Ibunya memakai telekung putih, hanya memandangnya dari jauh, dan menangis. Apabila dia memanggil ibunya, ibunya berpaling dan pergi dengan esakkan yang kuat.

            -

            “Abang jauh lagi ke rumah You ni?” tanya Sabrina yang semakin rimas dengan udara kampung.

            “Tu... depan tu je.” Kata Lufti sambil matanya meliar ke sekeliling halaman rumahnya. Kelihatan Sakinah sepupunya asyik menyakar sampah.

            “Sakinah!” panggil Lufti sebaik sahaja turun dari kereta. Mukanya terukir senyuman manis. Gembira melihat sepupu rapatnya.

            “A...abang Lufti.” Sakinah sedikit terkejut melihat abang saudaranya itu.

            “Mana ibu?” tanya Lufti riang. Wajah Sakinah semakin keruh.

            “Ibu! Ibu!” jerit Lufti. Dia pantas masuk ke dalam rumah.

            “Ibu! Luf dah balik!” laung Lufti lagi.

            Pelik, ibunya tidak kelihatan di mana-mana.

            “Ibu mana Kinah?” tanya Lufti.

            “Mak Siti... mak Siti..” Sakinah tak mampu mengucapkan kata itu.

            “Ibu kenapa Kinah?” tanya Lufti tak sabar. Sabrina yang sedari tadi memerhatikan suaminya mengeluh kuat. Apalah susah benar nak berjumpa dengan ibu suaminya?

            “Mak Siti dah meninggal.” Kata Sakinah perlahan. Air mata diseka.

            “Tipu.. Tipu!” jerit Lufti. Tidak. Tidak... ibunya masih ada, masih sihat! Sabrina mendekati suaminya. Dia sendiri tidak percaya dengan kata itu.

            “Kuburnya Kinah boleh tunjukkan.” Kata Kinah, dingin. Sakit hati dengan abang sepupunya. Penat Mak Siti menanggung rindu. Tapi bayangnya baru kini muncul.

            -

            “Ibu.... ibu...” tangan memegang kayu yang terpacak di kubur itu. Air mata berguguran bagaikan hujan yang tidak mahu berhenti.

            “Maafkan Luf bu... maafkan Lufti Ibu!” raunganya bergema dikawasan perkuburan itu. Sabrina turut menitis air mata. Salah dia... salah dia...

            “Maafkan Sabrina juga Ibu.” Tangis Sabrina.

            “Tak guna dah abang.... Mak Siti dah pergi. Dah 22 hari mak Siti pergi. Hari terakhir puasa Mak Siti pergi. Saat dia diatas sejadah memohon Allah memaafkan dosa Abang! Menangislah air mata darah, Mak Siti dah tak ada!” jerkah Sakinah. Sakitnya hati dia ketika ini. kalau boleh dia memukul Lufti pasti badan lelaki itu dipukulnya.

            “Ibu....” rintih Lufti.

            Sakinah pantas meninggalkan perkuburan itu.

            “Maafkan Luf, ibu.” Pinta Lufti  buat sekian kalinya. Tanah merah itu dikais-kaisnya. Tiada sahutan, tiada lagi suara ibu, tiada lagi wajah ibu. Tiada lagi kucupan mesra ibu. Tiada lagi teguran lembut ibu. Tiada lagi... tiada lagi... ibu...

            Sabrina memegang bahu suaminya.

            “Bacakan surah Yassin untuk ibu abang.”tegur sang isteri. Walaupun moden, Sabrina tahu tanggungjawab Suaminya ketika itu.

            “Sabrina juga minta maaf, sebab lambat pulang bersama abang.” Kata Sabrina perlahan. Dia yang mementingkan diri. Maafkan dia.

            Tetapi... tiada siapa yang mampu memaafkan mereka. Kerana... orang yang boleh memberi kemaafan sudah tiada. Tiada di dunia yang fana ini.